2008

Main Posts Background Image

Main Posts Background Image

Saturday 27 December 2008

Wajarkah umat Islam dikenakan zakat pendapatan?


Santai sikit rasanya pagi ini. Sempatlah curi-curi masa untuk intai blog ini sambil mendengar nasyid "kasihnya ibu membawa ke syurga..., kasihnya ayah tak sanggup berpisah..." yang dipasang dari CD original Adikku Sayang. Bagus CD ni sebab banyak nasyid nasihat untuk anak-anak. Jangan beli CD cetak rompak, takut berkat nasihat tu tak sampai kat hati anak-anak. Eh! Sempat pula kempen 'belilah yang ori'!

Hari ini saya ingin berkongsi persoalan yang dikemukakan oleh seorang pembaca artikel zakat saya tempohari. Pembaca ini meminta pendapatan tentang kewajipan membayar zakat pendapatan yang diwajibkan ke atas masyarakat Islam di Malaysia. Keresahan yang cuba dikongsi ialah bahawa pendapatan yang diterima sentiasa habis diguna, malah 'dikorek-korek' simpanan yang ada, jadi wajarkah dikenakan pula zakat pendapatan? Tambahan pula, katanya Imam Syafii sendiri pun tak mewajibkan zakat pendapatan. Hmm... Mungkin saudara juga pernah dihantui persoalan ini. Ya lah, setiap bulan gaji yang diterima perlu digunakan untuk menampung kos kehidupan yang sentiasa meningkat (walaupun minyak dah turun!).

Jadi, berikut sedikit respon saya yang diharap dapat menjawab persoalan ini.

Tuesday 23 December 2008

Delete lagi

Maaf, terpaksa delete pos bertarikh 19 Disember 2008 kerana .....

Friday 19 December 2008

Beli Sinar Harian esok!


Jarang benar saya suruh kawan-kawan beli surat khabar. Tapi, hari ini saya 'mencadangkan' supaya esok belilah surat khabar Sinar Harian. Ada berita menarik akan keluar.

================================

SIBUK

Sekarang ni saya sibuk aje. Blog pun dah tak sempat jenguk. Komen tak sempat balas. Emel pun banyak tak sempat baca. Banyak juga emel yang tak sempat dibalas. Adeh!
Mohon maaf banyak-banyak pada semua yang ada emel saya tapi masih tertunggu-tunggu balasan.

================================

TERMENUNG

Dari sebelum Aidil Adha hinggalah hari ini saya sering terganggu. Itulah kelemahan saya yang hanya insan biasa. Kalah dengan permainan angka dan masa....

7 Disember 2008 = Ulangtahun perkahwinan yang ke-11
7 Disember 2008 = 9 Zulhijjah 1419H = Genap setahun abang pergi mengadap Ilahi
8 Disember 2008 = Hari jadi ke-10 anak sulung iaitu Hanan
8 Disember 2008 = 10 Zulhijjah 1419H (Aidil Adha) = Kemuncak ibadat badal Haji yang dilakukan untuk abang pada tahun ini
8 Disember 2008 = Buat akikah untuk Hajar di Pusat Islam, USM.

Hari ini 19 Disember 2008 = Genap setahun abang pergi mengadap Ilahi. Al-fatihah...

Thursday 27 November 2008

Kursus CPD | Modul e-Learning


Universiti Sains Malaysia sentiasa berusaha untuk menjadi yang lain daripada yang lain.

Hari ni, saya dan ahli kumpulan ACES baru sahaja selesai membuat pembentangan portal e-learning untuk modul CPD. Lepas ni cuma tinggal lengkapkan modul artikel jurnal sahaja. Lega rasanya...
[dari bulan Julai hingga November tak habis-habis dengan kursus. Bukan tak bagus, tapi, mana nak mengajar lagi, nak selia pelajar MA & PhD, research, desa, bla...bla.....]

Berkenaan portal e-learning, kami diberi tugasan untuk membangunkan satu kursus berkenaan sustainability (kelestarian). Lihatlah kursus yang kami bangunkan dalam fasa kesibukan yang amat sangat DI SINI. Kursus yang kami bangunkan bertajuk: Multiple Intelligences (MI) for Sustainability. Apa tu? Hah! sila klik DI SINI.

Mujurlah saya tidak kekok sangat membangunkan portal e-learning ni sebab saya sendiri memang mempunyai portal e-learning yang dibangunkan bersama arwah suami di http://www.rosdi.net/education. Ada beberapa kursus dalam portal tu yang dibuka untuk guest user (orang awam). Kena godek sendiri lah ye kalau nak tahu kursus apa yang ada.

Ops! Teringat pula portal e-learning PPIK yang diamanahkan oleh Dekan PPIK pada saya. Jap ye prof. Bagi saya habis semak skrip final exam ni dulu :) . Adeh, tak dan menyawa....

Tuesday 25 November 2008

Sumber Sewaan Wajar Dizakat

Saya tidak sehebat orang-orang di luar sana yang asyik keluar masuk tv. Saya hanya orang biasa-biasa sahaja yang cuba menulis dan menulis kerana menyedari bahawa saya tidak mampu menggegarkan dunia dengan hanya mendiamkan diri.

Hari ini dalam sejarah, sedikit idea saya dipaparkan dalam akhbar Utusan Malaysia. First time masuk surat khabar. Selalu masuk majalah je, hiii....



AS SEEN ON NEWSPAPER :D

Monday 24 November 2008

Apa akan berlaku esok?



Apa akan berlaku esok, 25 November 2008?
Ya, sesuatu akan berlaku. Saya akan beritahu esok! Nantikan ia...

======================
Jika tidak mahu 'terlepas' daripada sebarang makluman, pengumuman atau tawaran pada masa akan datang, sila daftar untuk menerima emel tentang entri baru. Isikan ruang pendaftaran yang disediakan pada sidebar blog ini. Terima kasih.

Saturday 8 November 2008

Nafkah anak yatim

Ting tong!

Bila lah nak sambung diskusi tentang nafkah anak yatim? Erm... minggu lepas-lepas sibuk. Minggu depan lagi lah sibuk sebab dah mula dapat skrip peperiksaan untuk disemak. Argh....

Tuesday 4 November 2008

Air

Air mata...

Itulah yang meniti di pipi mak (mak arwah suami) Sabtu lepas.
Hari ini di teritori yang sama, saya senyum sahaja. Geli hati melihat telatah anak-anak terkial-kial belajar berenang dengan instrutctor, Uncle Zainoba.

"Kena garang sikit," pesan saya pada uncle.
Uncle Zainoba tersenyum. Dia orang lama. Masak sangat dengan kerenah kanak-kanak yang takut-takut bila kaki tidak mencecah lantai kolam renang.



Saya faham kenapa mak sedih. Ya lah, anak kesayangan dia, ayah kepada anak-anak ini dahulunya cukup hebat berenang menyusuri sungai dan lubuk. Kalau sesekali kami menginap di hotel, memang tidak sah kalau dia tidak terjun ke dalam kolam. Kalau ada family day dengan saudara-mara, tak payah lah cabar berenang dengan dia. Pasti menang sahaja. Saya pula, hihi..... tolong sengih je...

Thursday 30 October 2008

Corat-coret SEMLIS



Hari ini hari kedua seminar. Baru rasa macam lapang dada sedikit kerana sebentar lagi seminar akan berakhir. Lagipun slot pembentangan kertas kerja saya telah pun berakhir pagi tadi.
Syukur...

Semalam ucap utama yang disampaikan oleh Datuk Mufti Pulau Pinang iaitu Sahibussahamahah Dato' Haji Hassan Haji Ahmad dan juga pembentangan oleh Pengarah, Bahagian Penyelidikan, JAKIM sangat menarik tetapi sayang sekali kerana saya tidak dapat menghayati ucapan yang disampaikan kerana sambil mendengar saya perlu menguruskan para pembentang dan entah apa-apa tugas yang lain. Maklumlah, seminar baru sahaja bermula. Banyak perkara perlu diuruskan.

Petang kelmarin, saya tersenyum lebar bila ternampak wakil JAKIM, iaitu Ustaz Zarifi kerana dia datang jauh-jauh dari Putrajaya membawa selambak prosiding dalam kereta. Itulah yang saya tuggu-tunggukan. Cemas juga kerana bimbang kalau prosiding tak sampai memandangkan seminar sudah hampir bermula. Lebih menggembirakan kerana beberapa lagi kakitangan JAKIM turut hadir sebagai AJK bagi membantu tugas-tugas kami yang nampaknya dah tak menang tangan kami menguruskannya.

Saya membelek-belek prosiding yang berwarna hijau muda (hijau pucuk pisang) yang menjadi warna tema seminar. Alhamdulillah, reaksi spontan ialah senyum.... tengok prosiding kemas dan cantik. Terima kasih kepada Dr Suhaila yang telah banyak membantu saya memastikan 'kekemasan' prosiding. Begitu juga untuk En Meor yang telah design cover yang cantik.

Belek-belek lagi... Dahi saya mula berkerut. Saya terus selak halaman demi halaman. Ahh... kenapa macam ni? Saya mula cuak.

Tuesday 28 October 2008

Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari



Hari ini, esok dan lusa akan jadi hari yang sangat sibuk. Persiapan terakhir perlu dilakukan sempena Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari anjuran kami, Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Lestari dan Korporat, USM yang akan berlangsung selama 2 hari iaitu 29-30 Oktober 2008 di Dewan Persidangan Universiti, USM.

Saya bertanggungjawab menguruskan kertas kerja & prosiding. Banyak juga pengalaman yang diperoleh melalui tugas ini. Paling seronok ialah dapat berinteraksi dengan para pembentang kertas kerja yang semuanya hebat-hebat belaka. Alhamdulillah seminar ini dapat mengumpulkan 41 kertas kerja

Friday 17 October 2008

Bila blog hilang arah... | Atau bila Hasanah hilang arah (???)

Tangguh dulu tajuk nafkah anak yatim. Nak cakap pasal statistik drhasanah.com pula hari ini.

Inilah statistik blog ini tahun lepas. Masa baru setahun jagung, ia berkembang dengan begitu cepat dan statistiknya kelihatan cantik.


Hujung tahun, apabila suami meninggal dunia, saya tidak mampu untuk menulis buat seketika kerana setiap kali jemari diletakkan di mata keyboard, hanya kesedihan yang mahu dicatatkan. Kemudian lama selepas bersalin barulah saya mula menulis. Itupun, rentaknya tidak seperti dahulu. Lama kelamaan, pengunjung blog ini mungkin mulai bosan dan semakin menjauhi blog ini. Tahun 2008, statistik seperti kaku sahaja.

Tuesday 14 October 2008

Fiqh Anak Yatim


Hari ini saya akan melancarkan satu kategori baru dalam blog ini iaitu Fiqh Anak Yatim. Hihi... bunyinya macam canggih je sebab jarang-jarang dalam dunia ni (ye ke?) orang menulis tentang hukum fiqh berkaitan anak yatim secara khusus.

Saya berpegang kuat bahawa taqdir yang Allah tentukan ke atas saya pasti mempunyai hikmahnya. Mungkin ini juga satu dari hikmahnya iaitu Allah gerakkan hati saya supaya mendalami hukum-hakam yang berkaitan dengan anak yatim.

Topik pertama yang saya akan bahaskan ialah tentang NAFKAH ANAK YATIM.


Kenapa ini yang menjadi pilihan? Kerana topik nafkah menentukan kelangsungan hidup seseorang. Lihatlah di sekeliling kita, betapa ramainya anak kecil yang hidup susah dan melarat selepas bapa mereka meninggal dunia. Lihatlah betapa ramainya ibu-ibu yang menjadi janda... hidup menderita mengerah tulang empat kerat tanpa mengenal siang dan malam demi memastikan bahawa di atas meja makan pasti ada hidangan buat pengalas perut. Tak kurang juga anak-anak yatim yang terpaksa diletakkan di bawah seliaan rumah kebajikan kerana si ibu tiada daya untuk menyediakan tempat tinggal dan makanan yang sesuai dengan perkembangan usia anak tadi.

Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab menanggung nafkah anak yatim setelah ayahnya meninggal dunia? Di manakah peranan ahli keluarga si mati terutamanya mereka yang turut mendapat habuan harta pusaka si mati?

Pengalaman sendiri yang terpaksa bekerja siang dan malam untuk mencari nafkah untuk lima anak yatim membuatkan saya cuba menghalusi perkara ini. Kesukaran sehari-hari hanya Allah yang tahu apabila kekalutan menguruskan sekolah anak-anak, mengajar mengaji dan menemani mereka membuat 'homework', melayan kerenah si kecil, menguruskan rumah, membeli barang keperluan rumah, mengangkut beras dan tong gas... dan bekerja siang malam, Sabtu dan Ahad... wajarkah semua ini dibebankan di atas bahu seorang wanita yang kudratnya tidak lebih sedikitpun daripada orang lain.

Thursday 9 October 2008

Anjakan Paradigma

Kembali dengan semangat baru...
Kembali kepada matlamat yang lalu...
Menyebarkan ilmu tanpa rasa jemu...
Bukannya menulis mengikut rasa di kalbu...

Sepuluh bulan telah berlalu, rasanya cukuplah apa yang saya catatkan mengenang pemergian suami tercinta. Kalau ikutkan hati memang masih sedih, tetapi penulisan blog ini perlu dipandu semula menuju sasaran yang lebih bermatlamat yang diharapkan dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.

Semoga abang juga dapat memperolehi manfaat ini kerana semua usaha ini disokong kuat oleh abang semasa hayat dikandung badan...

Wednesday 8 October 2008

rAyA

Tong kosong... tak tau nak tulis apa... terlalu banyak perkara berlaku... terlalu banyak yang perlu diteladani...

Aidil Fitri yang baru berlalu minggu sudah... hmm... nak mula cerita macamana ye...

Hari Sabtu 27 Ramadhan, balik ke kampung arwah suami di Tualang, Pokok Sena, Kedah. Ziarah pusara... Bermalam a.k.a. beraya di kampung.
Hari Ahad 28 Ramadhan... ziarah pusara... sekali lagi...
Malamnya tidur di rumah pusaka di Taman Bertam Permai... mengutip kenangan... senyum sahaja saya melihat anak-anak gembira bermain bunga api bersama jiran-jiran.
Hari Isnin 29 Ramadhan... balik ke USM. Petang dalam hujan lebat sempat lagi beli jeruk di Sungai Nibong untuk dibawa ke Banting.
Hari Selasa 30 Ramadhan, 9.15 pagi bergerak dari USM ke Banting... lone ranger... jam 2 petang tiba. Alhamdulillah... sujud syukur kerana kembara lebih 400km ini terpelihara daripada sebarang kesulitan.
Hari Rabu 1 Syawal, ziarah pusara emak dan abah... entahlah... hati begitu sepi melihat pusara ini... tiada air mata yang mengalir... hati ini seperti mati... sedangkan pada awalnya saya begitu takut untuk menghadapi Aidil fitri ini.... entahlah....

Thursday 25 September 2008

Salam Aidil Fitri buat semua | Maaf Zahir Batin




Thursday 18 September 2008

Anyam Ketupat: Seni Kraftangan Melayu yang dilupakan

ketupat riben | nak gantung kat luar rumah heheee....

"Emak mesti buat ketupat!" Macam satu perintah sahaja bunyi permintaan Ziyad.
"Haah, mak buat lah, nak gantung kat luar tu," Husna menyokong.
"Cepatlah mak," rayu Ziyad. Dia sudah tidak boleh bersabar lagi.

Saya memang tak de mood nak sambut raya kali ini. Tapi melihatkan riak wajah anak-anak yang tidak sabar-sabar menanti hari lebaran, saya buang perasaan sayu jauh-jauh. Saya perlu memastikan anak-anak tetap gembira menyambut Aidil Fitri kali ini walaupun suasananya nyata sekali jauh berbeza.

Saya pergi ke beberapa kedai berhampiran USM. Riben yang dicari tidak ditemui. Yang ada hanyalah riben kain. Hmm... saya masih terlalu baru dengan kehidupan di pulau ini, masih terpinga-pinga mencari kedai yang di dalamnya ada seribu macam barang... macam kedai alatan menjahit di Banting.

Saturday 13 September 2008

Bila kita hidup bahagia, kita sangka akan hidup lama

Bila kita hidup bahagia,
Kita sangka akan hidup lama...


Itulah hakikatnya. Dahulu saya pun fikir begitu. Walaupun tahu ajal akan tiba pada saat perjanjiannya, tetapi, setiap hari ada sahaja angan-angan yang dicipta, kerana menyangka bahawa kita akan hidup lama...



Malam tadi jam 12.30 tengah malam, ketika saya sedang memandu pulang dari Kampus Kejuruteraan (di Transkrian) ke Kampus Induk USM kerana membawa pelajar untuk majlis tilawah, tiba-tiba saya menerima sms dari jiran di Taman Bertam Permai (TBP). Suspen! Itulah reaksi spontan saya.

Tuesday 9 September 2008

Tsunami Kerja



Subhanallah...
Banyak kerja nak kena buat... Rutin hidup pensyarah universiti, yang dari luar dilihat macam 'relaks' sangat hanya kerana tiada kad penumbuk :P (punch card)... tapi hakikatnya, siang malam diulit kerja... kerja... kerja...
Kertas kerja SEMLIS 2008... adeh, bila nak siap... Pastu nak kena siapkan prosiding seminar... seminggu-dua ni berpuluh emel masuk sehari... rata-rata pasal kertas kerja pembentang untuk SEMLIS 2008... Minggu depan nak kena hantar kat pencetak dah... Nak kena semak tesis lagi... Selia pelajar Ijazah Tinggi... amboi tebalnya tesis... Esok kelas 5 jam... Master... mesti well prepared... Alamak, power point tak buat lagi... Tugas kat Desa Tekun... anak-anak yang beribu-ribu tu nak kena tengok-tengok jugak...

Monday 1 September 2008

Kasih sayang... berapa harganya?



Tulis... padam... tulis... padam...
Entah kenapa begitu sukar mencari kata pemula.

Hari ini, Ramadhan bermula... bulan yang sentiasa dirindu oleh saya dan arwah suami. Semalam seharian saya mengemas rumah. Begitulah selalunya, Ramadhan kami sambut seperti ingin menyambut Aidil Fitri. Namun, kali ini saya tak mampu mengemas rumah sebaiknya kerana batasan kudrat yang sendirian menggalas semuanya. Ramadhan kali ini terlalu berbeza buat saya.

Tuesday 26 August 2008

Bagaimana Mengira Iddah?

Slide PowerPoint tentang Panduan mengira iddah bagi wanita yang diceraikan dan juga kematian suami

Seorang rakan menghubungi saya baru-baru ini. Soalan yang ditanya sangat mengejutkan. Dia ingin meminta penjelasan tentang cara mengira iddah. Saya cuba meminta kepastian kerana tidak ada sebab untuk seseorang bertanya tentang iddah melainkan jika dia berada dalam keadaan yang menyedihkan itu. Benar! Dia baru bercerai. Hakim memerintahkan dia beriddah selama 3 kali suci. Rakan ini meminta kepastian daripada Yang Arif tentang maksud 3 kali suci itu. Malang sekali, tiada penjelasan yang dapat diberikan.

Saya menyelongkar semula fail-fail dalam komputer saya. Alhamdulillah fail tentang iddah masih ada. Mengenangkan ramai di luar sana yang masih tidak jelas bagaimana hendak mengira iddah, jadi saya cuba make up sikit sebanyak slide power point tentang iddah untuk tatapan semua. Harap dapat dimanfaatkan.
[Jika slide tidak keluar,pastikan anda 'allow pop-up'. Untuk paparan yang lebih menarik, selepas keluar slide, sila klik 'Slide Show' yang terletak di sebelah kanan-bawah]

Thursday 7 August 2008

Iddah: Bahagian Tiga (Iddah bagi wanita yang kematian suami)



Wanita yang kematian suami mempunyai tempoh iddah yang berbeza berbanding perpisahan akibat perceraian. Disebutkan dalam ayat 234 Surah al-Baqarah:
((..dan bagi perempuan yang kematian suami di antara kamu dan kemudiannya mahu berkahwin maka hendaklah dia menahan dirinya (beriddahh) selama empat bulan dan sepuluh hari))

Dalam satu kertas kerja yang ditulis oleh pensyarah saya semasa belajar di Universiti Mu'tah, Jordan, iaitu Dr. Abd al-Hamid al-Majali (ArabLawInfo.com: 2002), dijelaskan tentang hikmah disyariatkan iddah bagi wanita yang kematian suami. Beliau antara lain menjelaskan bahawa ikatan perkahwinan merupakan satu ikatan yang sangat kuat dan suci yang diasaskan oleh perasaan cinta dan kasih sayang. Al-Quran banyak memberikan gambaran yang indah tentang hubungan perkahwinan (lihat: al-Baqarah ayat 187 dan al-Rum ayat 21) di mana pasangan suami isteri menjadi pakaian antara satu sama lain dan dijadikan pula pasangan itu tempat untuk bersenang-senang dan mendapat ketenangan. Ikatan zahir dan batin yang begitu kuat ini pastinya menjadikan perpisahan antara kedua-duanya sangat sukar sekali apatah lagi jika perpisahan itu akibat kematian.

Wednesday 30 July 2008

Rumah Baru

 

Phew! Letih jugak tukar hosting ni. Entah apa-apa isu teknikal yang timbul dari server, dns, domain, registrar, mysql data, page 404 dan macam-macam lagi.

Sebelum ni guna internet webhosting milik Shamsul Kamal. Bukan tak ok. OK juga dan sangat sesuai untuk orang yang nak berjinak dengan website. Sesiapa yang nak mulakan small online business pun boleh cuba. Maklumlah, hosting cuma RM80 je setahun untuk 3GB diskspace dan ada 15 addon domain. Tapi saya pakai takat 400mb je.

Sebelum tu lagi... guna Sempoihosting.com milik Suhaimy... pun ok jugak, sangat sesuai untuk sesiapa yang nak memiliki website/blog pertama. Saya hanya bayar kalau tak silap RM18 je setahun, hihiiiii.....

Tuesday 8 July 2008

Tergendala



Banyak sangat benda yang berlaku kebelakangan ni. Student lama dan baru dah masuk semula ke desa untuk sesi 2008/2009. Kuliah pula bermula hari ni. Macam biasa, kena ajar subjek paling panas: MUNAKAHAT a.k.a. Institusi Kekeluargaan Islam..... selain beberapa subjek lain termasuk subjek master.

Malam tadi buat rondaan kat desa-desa dalam USM. Pukul 2 pagi baru habis. Hening, sunyi, tenang, sedih, marah, benci, risau... macam-macam perasaan timbul tengok USM after dark. Pagi ni pening lalat... ngantuk maaa.....

Dalam masa yang sama servis hosting untuk blog ni dah nak expired, nak kena renew balik. Cadang-cadang nak pindah server, so, banyak pula isu teknikal yang akan timbul. Untuk beberapa hari mungkin tak dapat update apa-apa sebab nak kena selesaikan perkara ni dulu. Ada banyak domain sharing dalam hosting ni, so , banyak kerja la nak buat. Sabar ye, nantilah bila dah selesai isu teknikal kita gegarkan Malaysia!!! hihii...


sebenarnya...
banyak sangat benda nak ditulis kat dalam ni.... terlalu banyak, tapi biarlah ia menjadi mIstEri......

Saturday 5 July 2008

Mana hilangnya post lalu?



Kadang-kadang memang nak marah kat hosting provider. Masa tengah edit post lepas tentang Seminar Terkini di USM, tiba-tiba je hilang habis post tu. Iey... geramnya!
Dipendekkan cerita, kalau nak lihat maklumat lanjut tentang seminar tu, sila klik: http://www.usm.my/semlis2008

Sunday 29 June 2008

Seminar Terkini di USM %7

Friday 27 June 2008

Enam purnama telah berlalu




Enam purnama telah berlalu. Kesedihan kami sekeluarga masih tidak hilang. Kerinduan di hati masih kukuh tidak berkurang. Melihat Huda yang baru berusia 2 tahun menangis terkenang ayah ketika saya, Hanan dan Husna membaca Yasin malam tadi, Allah... tuhan sahaja yang tahu bagaimana rasanya ketika cuba memujuk dia agar jiwanya kembali tenang.

Enam purnama telah berlalu. Rasa seperti tidak percaya semuanya telah berlaku ke atas saya dan 5 zuriat kesayangan. Namun, ketentuan tuhan pasti akan terlaksana sebagaimana yang telah dirancang. Biar pun begitu perit rasanya dugaan, tetapi setiap yang dirangka oleh Yang Maha Esa pasti mempunyai HIKMAH yang sangat besar, tak mampu ditelah oleh akal cetek seorang insan...

Enam purnama telah berlalu. Sudah terlalu lama hidup dalam kesedihan. Mungkin sudah sampai masanya untuk saya tidak lagi berpaling ke belakang. Kehidupan mesti diteruskan. Kalau terus ditangisi yang telah pergi, tak mungkin saya sekeluarga dapat meredah dugaan yang setiap hari datang pergi tiada kesudahan.

Wednesday 18 June 2008

Monolog

Pertama kali dalam blog ini saya bermonolog meluahkan kesedihan yang tidak tertanggung rasanya. Cukuplah untuk dua hari monolog itu disiarkan dalam blog ini... sehari sempena hari bapa dan sehari lagi sempena ulangtahun kelahiran Ustaz Rosdi yang ke-37. Semoga Allah s.w.t. memberikan keampunan dan rahmat buatnya.

Saya rasa sangat perlu untuk unpublished monolog dua hari lepas kerana setiap kali saya membacanya, badai kesedihan akan menghempas kembali...

Monday 2 June 2008

This day will change the world!!!



This day will change the world!!!

Pagi-pagi lagi saya ke Desasiswa Tekun, USM (senang sebut: Desa Tekun). Lapor diri sebagai Penolong Penggawa! Suspen, teruja, berdebar-debar, resah, gembira semuanya ada. Maklumlah, tugas baru ni sangat berat. Menuntut banyak pengorbanan dan kesabaran. Semoga Allah s.w.t. mudahkan segala urusan dan memberkati setiap yang saya usahakan. Amiin...

* Penolong penggawa? Apa tu?
--> Macam penolong warden la. Tapi anak ramai. Seribu lebih! Jenuh kepung...

Thursday 29 May 2008

Tips mengawal anak-anak dari pejabat




"Emak," rengek Husna.
"Kenapa?" Saya memandang wajah comel anak kedua yang akan menyambut hari jadi ke-8 esok.
"Emak tak payah kerjalah hari ini," pintanya. Dahi saya berkerut.
"Kerja banyak kat USM. Lagipun hari Sabtu lepas mak dah bawa ke Zoo Taiping. Hari Ahad balik kampung. Ziarah kubur ayah lagi." Saya cuba memujuk. Cuti sekolah, pasti membosankan bagi anak-anak jika duduk di rumah sahaja. Namun, tak mungkin saya pun turut bercuti sepanjang dua minggu cuti sekolah. Tugas di USM banyak. Sementelahan saya telah bercuti terlalu lama selepas melahirkan Hajar.
"Husna nak main teka-teka perkataan macam tadi," Husna menjelaskan.

Tuesday 27 May 2008

Azimat Hajar



Air mata tak dapat ditahan lagi.

Merintih dia kepada lelaki itu mengharapkan dia tidak ditinggalkan seorang diri. Dia bimbang yang amat sangat. Melihatkan pasir dan batu di sekelilingnya, bagaimana mungkin dia dapat hidup di tempat yang kering kontang dan begitu asing seperti itu.

"Adakah ini perintah tuhan-Mu?" Tanya Hajar.
"Ya". Pendek dan lesu jawapan Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim berkata kepada Hajar, "bertawakkallah kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke sini dan Dialah yang akan melindungimu dan menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sesungguhnya kalau bukan perintah dan wahyu-Nya, tidak sesekali aku tergamak meninggalkan kamu di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat kucintai ini. Percayalah wahai Hajar bahwa Allah Yang Maha Kuasa tidak akan melantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya, insya-Allah."

Monday 26 May 2008

Tempoh Iddah - Bahagian 2

Tempohari kita dah sentuh tentang tempoh iddah jenis pertama, iaitu 3 kali suci.

Jenis kedua pula ialah 3 bulan

Siapa yang perlu beriddah selama 3 bulan? (diulangi, 3 bulan. Ia berbeza dengan 3 kali suci)

Perempuan yang perlu beriddah selama 3 bulan ialah perempuan yang belum pernah didatangi haid atau yang telah berhenti haidnya. Sekiranya dia diceraikan, maka dia perlu mengira iddah dari hari perceraian hinggalh cukup tiga bulan Qamariyyah. Perlu diingatkan, tempoh 3 bulan ini tidak semestinya 90 hari. Hal ini kerana dalam kalender Islam, ada kalanya jumlah hari sebulan ialah 29 hari dan ada kala berjumlah 30 hari. Tetapi tiada yang berjumlah 31 hari!

Monday 19 May 2008

Tempoh Iddah - Bahagian 1

Sambung semula perbincangan tentang iddah.

Tahukah saudara berapa lamakah seseorang perempuan perlu beriddah? Satu bulan? Tiga bulan? Empat bulan? Sampai mati? atau berapa sebenarnya?

Sunday 11 May 2008

Permata baru

[gallery]
Berbicara tentang pengalaman, terlupa untuk mencatatkan tentang kelahiran seorang puteri pada 31 Januari 2008.Pengalaman melahirkan anak tanpa suami tercinta tak mungkin dapat dilupakan...

Saat-saat menanti hari untuk bersalin sangat mendebarkan dan menggusar perasaan. Sudahlah kandungan dirasakan lebih besar dari selalu, suami pula tiada untuk membantu secara moral dan fizikal sementelahan anak yang empat orang masih kecil dan sentiasa meminta dilayan dan diberikan perhatian.

31 Januari 2008
Seperti selalu, tarikh jangkaan bersalin tidak pernah tepat. Selepas 3 hari 'overdue' barulah terasa 'contraction' seawal jam 5.30 pagi. Saya sentiasa memerhatikan jam. Sakit masih jarang-jarang. Sekitar 20 minit sekali. Pengalaman bersalin empat kali sebelum ini membuatkan saya masak benar dengan sakit bersalin. Walaupun terasa sakit, saya masih boleh sambung tidur! Saya tahu, saya perlu cukup rehat untuk bersalin.

Friday 9 May 2008

Iddah

Kerana tidak tahu dari mana hendak bermula, maka biarlah saya jana semula penulisan berdasarkan pengalaman saya yang baru kematian suami.

Melangkah pergi yang tiada kembalinya...
Melangkah pergi yang tiada kembalinya...

Seorang wanita yang diceraikan atau kematian suami hendaklah beriddah. (Dieja juga dengan idah, edah, eddah, 'iddah).

Apa maksud iddah?

Iddah ialah satu jangkamasa tertentu yang wajib dilalui oleh seorang perempuan yang baru diceraikan oleh suaminya ataupun kematian suaminya.

Tujuan beriddah ialah untuk memastikan rahim perempuan itu kosong dari sebarang kandungan. Ia juga dapat memberikan ruang masa bagi suami rujuk semula kepada bekas isterinya. Bagi wanita yang kematian suami pula, tempoh iddah dianggap sebagai tempoh berkabung bagi menunjukkan kesedihan ke atas pemergian suaminya.

Monday 5 May 2008

Kembali



Lama sungguh tak menulis. Itulah hakikatnya. Setiap hari teringatkan blog yang dah lama dibiarkan. Terlalu banyak yang hendak ditulis hingga tak tahu di mana hendak bermula. Malah, konsep blog ini pun hampir-hampir hendak diubah!

Malam tadi satu artikel dihantar kepada editor majalah Aniqah. Dalam emel kepada Puan Khairana atau lebih senang dikenali sebagai Puan Kay, saya maklumkan tentang pemergian ustaz (artikel saya dan ustaz pernah diterbitkan dalam majalah Aniqah. Malah ada beberapa artikel lagi yang telah dihantar tapi tak nampak lagi bayang untuk diterbitkan). Pagi tadi Puan Kay telefon. Terkejut juga. Pertama kali bersembang dengan Puan Kay, nyata dia seorang yang sangat peramah dan prihatin. Puan Kay bertanyakan khabar kami sekeluarga. Dia sangat terkejut dengan berita yang disampaikan kerana dia sendiri tertanya-tanya, "Mana Rosdi Yusof ni? Dah lama tak hantar artikel, takde ke nak hantar artikel lagi?"

Friday 11 April 2008

Klik

[gallery]

Tuesday 1 January 2008

Terima kasih!

Terima kasih kerana mendaftar untuk menerima entri dan berita daripada saya!

[sistem ini masih dalam pemantauan, jika anda bermasalah dengan subscription ini harap dapat maklumkan kepada saya]

Sistem yang digunakan ialah perisian GetResponse yang dicadangkan oleh ramai IM

Error 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage