Saturday 27 December 2008
Wajarkah umat Islam dikenakan zakat pendapatan?
December 27, 2008
Santai sikit rasanya pagi ini. Sempatlah curi-curi masa untuk intai blog ini sambil mendengar nasyid "kasihnya ibu membawa ke syurga..., kasihnya ayah tak sanggup berpisah..." yang dipasang dari CD original Adikku Sayang. Bagus CD ni sebab banyak nasyid nasihat untuk anak-anak. Jangan beli CD cetak rompak, takut berkat nasihat tu tak sampai kat hati anak-anak. Eh! Sempat pula kempen 'belilah yang ori'!
Hari ini saya ingin berkongsi persoalan yang dikemukakan oleh seorang pembaca artikel zakat saya tempohari. Pembaca ini meminta pendapatan tentang kewajipan membayar zakat pendapatan yang diwajibkan ke atas masyarakat Islam di Malaysia. Keresahan yang cuba dikongsi ialah bahawa pendapatan yang diterima sentiasa habis diguna, malah 'dikorek-korek' simpanan yang ada, jadi wajarkah dikenakan pula zakat pendapatan? Tambahan pula, katanya Imam Syafii sendiri pun tak mewajibkan zakat pendapatan. Hmm... Mungkin saudara juga pernah dihantui persoalan ini. Ya lah, setiap bulan gaji yang diterima perlu digunakan untuk menampung kos kehidupan yang sentiasa meningkat (walaupun minyak dah turun!).
Jadi, berikut sedikit respon saya yang diharap dapat menjawab persoalan ini.
Persoalan sama ada Imam Syafii pernah atau tidak pernah mewajibkan zakat pendapatan bukanlah pokok persoalan dalam kewajipan membayar zakat pendapatan. Saya tidak pasti sama ada saudara seorang ahli akademik atau tidak, tetapi di kalangan para fuqaha dan ulama termasuk di Malaysia, persoalan fiqh perlu dilihat secara sangat kritis dan tidak disempitkan dengan aliran mana-mana mazhab. Dalam ilmu usul fiqh (ilmu yang membahaskan asas pembentukan hukum), di samping al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas, terdapat satu komponen penting yang menentukan pembentukan hukum iaitu maslahat.
Dalam konteks kewajipan zakat, adalah sangat mudah difahami bahawa pada zaman awal Islam di mana aktiviti ekonomi yang utama ialah pertanian dan perniagaan, maka hukum yang disyariatkan juga sesuai dengan keadaan pada masa tersebut. Hakikatnya, pertanian dan pertanian ialah sumber utama pendapatan pada masa itu. Namun, masa beredar. Sesuai dengan satu kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa: "tidak dinafikan bahawa hukum -terutamanya ijtihad- boleh berubah dengan perubahan masa dan tempat" dan disesuaikan dengan usul fiqh yang menitikberatkan aspek maslahat, maka sumber yang boleh dikenakan zakat juga disesuaikan dengan keadaan semasa. Pada masa ini golongan petani dan peniaga memang ramai, tetapi golongan yang menjalankan aktiviti perkhidmatan juga sangat ramai. Jika pada zaman dahulu pertanian dan perniagaan dikenakan zakat kerana ia merupakan sumber pendapatan utama, maka adalah sewajarnya apa-apa sumber pendapatan pada masa ini juga dikenakan zakat. Perkara ini disebut sebagai 'illah iaitu komponen penting yang digunakan dalam melakukan Qiyas.
Kita lihat pada matlamat zakat yang secara tersirat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak: pemberi dan penerima. Zakat dapat memurnikan hati pemberi dan memberikan keberkatan pada hartanya. Zakat juga dapat mengeluarkan golongan yang miskin dan lain-lain asnaf daripada bebanan masalah yang menghambat mereka. Baiklah, apabila sumber pendapatan utama umat Islam telah berubah dari bentuk perniagaan & pertanian kepada perkhidmatan bergaji tetap, dan dalam masa yang sama kita masih mahu memakai pemahaman lama tentang kewajipan zakat, maka sudah pasti akan berlaku kepincangan yang besar dalam sistem sosial umat Islam. Yang kaya terus melipatgandakan harta manakala dana untuk membantu golongan miskin dll akan terus menyusut menyebabkan jurang antara kaya dan miskin semakin melebar. Kita perlu ingat bahawa antara peranan zakat ialah merapatkan jurang perbezaan ini.
Mewajibkan zakat pendapatan merupakan satu tindakan penting dalam memelihara maslahat umat Islam dan ia bukanlah idea mana-mana pihak yang tamak mahu memandai-mandai atas kepentingan duniawi. Malah, kewajipan zakat pendapatan ini dibincangkan dengan sangat kritis oleh para fuqaha di seluruh dunia. Mereka bukan mahu memenuhkan periuk nasi masing-masing, sebaliknya sangat prihatin dengan nasib golongan asnaf zakat yang merintih di seluruh dunia. Tidak perlulah kita berasa risau jika gaji yang diterima tidak mencukupi untuk keperluan bulanan (apatah lagi jika perlu dikorek pula simpanan yang ada). Sistem zakat tidak menzalimi umat Islam. Malah bertujuan untuk membantu umat Islam. Semakin lama saya mendalami hukum zakat, makin saya kagum dengan kebijaksanaan Allah s.w.t. Apa tidaknya, zakat hanya diwajibkan ke atas orang yang hartanya melebihi keperluan. Sebaliknya, jika apa yang ada tidak mencukupi, kita pula dibenarkan untuk memohon zakat. Jika harta kita berlebih2an maka kita diwajibkan memberi lalu kita bersyukur kerana dilimpahi rezeki yang luas dan kita tidak perlu meminta-minta. Tetapi jika kita perlu mengharap bantuan, kita juga akan bersyukur kerana ada tempat untuk kita memohon bantuan.
Perkembangan terkini di pusat-pusat zakat di Malaysia pula, kita diberikan pilihan untuk membuat pengiraan zakat sama ada pendapatan x 2.5% atau pendapatan - belanja dibenarkan x 2.5% atau yang ketiga, pendapatan - belanja sebenar x 2.5%. Llihat: Portal Zakat Selangor (negeriku!). Saya kira, ramai yang akan memilih kaedah ketiga dan terlepaslah mereka dari dikenakan zakat. Pokok pangkalnya, jangan tepuk dada tanya selera, tapi, bertafakurlah sejenak tanya di tahap mana iman kita.
Alamak! Anak-anak dah bising ajak pergi kolam renang. OK, jumpa lagi. Wassalam.
Subscribe to:
Post Comments
(Atom)
Terima kasih Tapai.
ReplyDeleteErr... Naseebah ada, hihii....
ah??naseebah??ape ke hei nama aku disebut sebut ni tapai oii.. ape kome ni??idokle teman tahu...ape kaitan teman ngan tapai???
ReplyDeleteAssalamualaikum,
ReplyDeleteCamne nak kire zakat perniagaan utk bisnes handbag online yg buka setahun yg lalu? Harap dapat tolong.
Terima kasih,
yati
ramai orang belagak cam pandai agama..tapi sebenarnya bodoh.. yang ko orang bandingkan cukai pendapatan dengan zakat pendapatan tu apake hal..
ReplyDeletecukai pendapatan tak ada dalam agama...dan zakat pendapatan pula kalau nak bayar mesti cukup haul(tempohnya)..yang engko pergi buat potongan gaji tu apake jadahnya...oh..mungkin lupa...nanti..
wei...benda agama jgn nak pandai-pandai wat fatwa...
kalau duit tu bukan milik sempurna(malikul tam) ,tu maknanya bukan lagi hak kita...
pergilah menuntut ilmu lagi..jangan nak memandai-mandai..
Saudara 'Takut',
ReplyDeleteIlmu perbandingan ialah pra-syarat untuk menjadi seorang yang kritis. Dalam ilmu asas istinbat hukum sendiri pun, disebutkan bahawa para mujtahid perlu mempunyai ilmu dalam membuat perbandingan seperti dalam istinbat hukum berasaskan qiyas. Tiada sedikit pun salahnya jika kita membandingkan what so called agama dengan non-agama. Yang penting ialah jangan menyamakannya.
Dengan rendah hati saya nasihatkan saudara takut supaya PERGILAH MENUNTUT ILMU. Bukan sekadar ilmu agama, malah ilmu perbandingan dan juga ilmu berbicara. Mudah-mudahan dengan itu Islam akan indah bukan sahaja kerana asas wahyunya, tetapi juga dengan para pendokong yang dicerahkan hati dan akal fikirannya serta lunak butir bicaranya.
Salam...
ReplyDeleteZakat adalah rukun Islam. Di dalam ibadah seperti ini fuqaha sepakat ia tidak ada illat Illat walau illat syar'ie sekalipun. berbeza dengan masalah iqtisad atau siyasah.
sedangkan hari ini pandangan yang mewajibkan zakat pendapatan banyak disandarkan illat aqliah yang jelas bathil. Contohnya untuk kebaikan dan kemaslahatan ummat. Walhal kemaslahatan itu terhasil dengan perlaksanaan hukum dan bukan dengan mengada-adakah hukum.
wuzara...
ReplyDelete"Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu."
Surah al-Baqarah (ayat 267)
hujah ini sudah cukup utk menyatakan kewajipan zakat pendapatan. adakah pendapatan anda adalah dr usaha yg baik2? jika ya maka anda WAJIB menunaikannya. tak perlu qias
Mjls fatwa negeri Selangor telah memutuskan zakat dr hasil mal al-musatafad adalah wajib utk ditunaikan termasuk zakat pendapatan.
jgn disebabkan pandangan anda, ramai yg akan menolak utk menunaikan zakat..
wallahua`lam
Assalamualaikum..
ReplyDeleteSaya musykil tentang permasalahan pembayaran zakat melalui sistem pesanan ringkas.Harap dapat dijelaskan kepada saya dengan hujah-hujah yang terang lagi terperinci.sekian wassalam..
Saya tahu zakat ni wajib, bila saya ajukan pada para ustaz ade yg berpendapat zakat pendapatan ianya tidak perlu sebab dia kata kalau kita terlebih harta atau duit maka zakat telah dikenakan pada harta simpanan kita itu. Ade ke fatwa daripada Majlis Fatwa Malaysia yang menyetujui zakat pendapatan ni. Kalau ade senang le kita umat Islam ikut aje fatwa tersebut, tk banyak soal. Masalahnya saya tengok ramai yg tertanya2 lagi termasuk para cendiakawan agama sendiri.
ReplyDeleteLaaaaaa.......... kan kan zakat tu sebahagian rukun islam......kalu x bayar zakat....lu piker la sendiri......xkan ngan tuhan pun nak berkira.....punya banyak nikmat yg Dia bagi kat kita tapi bila dia mintak sikit kita nak berkira...ape kess....Dia bukan nak pun duit kita.....Dia suruh kita keluarkan sebagai tanda yg harta kita yg ade tu pemberian Dia...supaya kita tak leka..lalai.....tu pun susah sgt ke...berat sungguh la org yg berat nak bayar zakat ni.....kalu dlm sembahyang kita x baca fatihah solat kita x sah...sebab fatihah tu rukun...abis tu...kalu kita x bayar zakat yg merupakan rukun islam......islam ke kita....sendiri mau ingat la.....
ReplyDeleteSalam.
ReplyDeleteZakat pendapatan, ramai yang tak sedar kewajipan membayarnya . alasan mereka gaji sentiasa habis. Tapi saya fikir , perbelanjaan kita berkadaran dengan pendapatan . contoh : gaji RM 3000 pakai kereta kancil jer. Duduk rumah teres jer. Bila gaji jd RM 10,000 beli kereta lebih besar , duduk rumah lebih besar duit masih gak tak cukup . Kalau gitu mana hak org yg 2.5% dalam harta kita tuu. pokok nya kena tanya iman. Kena rasa nanti Allah tanya lepas jawab ker tidak alasan yang kita bagi tuu.Apa pendapat ustazah?. Tapi kadang rasa kesal jugak dengan setengah institusi zakat tu kalau bab nak kutip zakat siap boleh on line lagi tapi kalau bab nak mohon tak ada pulak borang on line. Mintak kat kaunter pun susah nak bagi. Kadang 2 tukang agih kat kg pulak yg tak faham hukum . yang tak layak pun diberi jugak asal sekapal. rasanya kena perbetulkan jugak bab ni.
Hihiii.... menyokong
ReplyDeleteJgn belajar psl agama dlm internet nie...lebih bahaya dari baiknya.. setakat baca boleh lah.. lepas tu keluar balik.
ReplyDeleteklu orang tanaman padi pun kena zakat 5% - 10% peratus klu orang makan gaji yang banyak xkena ke? logik mcm xadil....pandang ulama mewajibkan zakat pendapatan ini demi maslaha ummah....hari ini di malaysia negeri yg tidak memfatwa kan zakat pendapatan ini mendapat kutipan zakat yang sedikit berbanding negeri yang mewajibkan zakat pendapatan ini....hasil kutipan zakat ini pun bukan kemane di agih kan kepada asnaf yang layak....klu nak kira kadar cukai lg tinggi berbanding dengan zakat.....lebih baik bayar zakat dari bayar cukai.....
ReplyDeletepembayaran zakat melalui sistem pesanan ringkas ini adelah harus hukum nye......(rujukan Jabatan Mufti Selangor)
ReplyDeletesaya setuju dengan meriam. moga org yg bertanggungjawab membaca ini dan insaf dengan kewajipan mereka. agihlah sumber pendapatan dgn betul dan adil.
ReplyDeleteSaya pun tak faham sangat..tapi kebanyakkan ustaz yg mengajar kat masjid2 mengatakan orang yg makan gaji tak perlu bayar zakat. Lagi satu kemusykilan saya..kenapa cuma beberapa negeri saja yang laksanakan zakat pendapatan ni.Cuma bagi saya rasanya eloknya bayar zakat dari cukai pendapatan..duit tu untuk orang-orang Islam saja.
ReplyDeleteSaya nak tambah sikit dari apa yang saya baca...pada zaman nabi dulu cuma haiwan ternakan,hasil pertanian,emas dan perak,perniagaan dan barang dijumpai(harta karun kot) yang kena zakat..sedangkan pada zaman tersebut telah ada orang yang makan gaji seperti pembuat bangunan dan sebagainya..namun mereka tidak dikenakan zakat..sekiranya zaman sekarang orang kata orang yg makan gaji besar tak adil tak bayar zakat pendapatan..maka dia akan berkata zakat fitrah setiap ramadhan tu pun tak adil sebab orang kaya atau miskin bayar dalam jumlah yang sama...Kesimpulannya korang buat sendiri le...bayar zakat ni amat baik..cuma sekarang kami yang tak tau ni cuma takut berdosa atau tak kalau tak bayar zakat ni..sebab pendapat yang bercanggah...tanya ustaz le..
ReplyDeleteAssalamualaikum semua
ReplyDeleteIslam itu sempurna pada zaman wafatnya RasulAllah, perkara-perkara yang tak berlaku atau tidak ada zaman RasulAllah perlu persepakatan ijtihad ulamak2.
Zakat tidak boleh kita sangsi lagi kewajibannya sebab ianya salah satu rukun Islam dan tidak terkecuali orang gila dan kanak2 seperti sembahyang.
Zakat pendapatan/penggajian? timbul sekarang ini setelah lebih 1000 tahun nabi wafat. Banyak kitab2 dahulu tidak menyentuh tentang zakat pendapatan atau saya tak menjumpainya sebab pengtahuan saya yang cetek kecuali kitab2 baru diMalaysia?... Persoalan mereka mungkin disebabkan adakah zaman dahulu tidak ada kerja2 bergaji atau orang berpendapatan, atau upah pengajian zaman dahulu sikit semuanya dan tak cukup nisabnya (berapa nisabnya) atau mufti2 atau hakim2 kakitangan2 kerajaan atau swasta dizaman pemeritahan islam dahulu tidak bergaji dan hanya berkhidmat percuma sambil bekerja sendiri? Zakat iti sendiri jelas tujuannya. Emas dan perak selalu disenut2, bagaimana permata, berlian, batu2 berharga dan galian lain dari bumi?, tidak semua binatang ternakan di sebut dalam kitab2 kecuali lembu, kambing, unta walaupun banyak. Adakah ayam itik tidak ada dizaman RasulAllah. Wajibkah kita membayar zakat jika memberi makan kambing2 makanan2 yang kita beli dan bukan lepaskan dipadang2 ragut yang diberi hujan dan rumput2 yang tumbuh segar. Zakat tanaman berbeza mengikut cara pengairannya.
Semua ini perlu mungkin diperjelaskan lagi sebabnya ianya seperti perkara baru yang mungkin telah terlupa dan ianya bukan sahaja masaalah setempat malah umat islam seluruh dunia , zakat pendapatan jangan focus pada penggajian sahaja pengajian sahaja, macamana dengan penoreh getah, pekebun durian dll. Yang penting yang wajib tu jangan kata wajib dan yang tak wajib tu jangan kata wajib sebab ia juga di laknat. Kita tak boleh menghalalkan yg haram dan sebaliknya juga tidak boleh menghalalkan cara.
Pengiraan zakay pendapatan mirip seperti cukai pendapatan perlu diperjelaskan sumbernya supaya semua faham terutama kepada semua ustaz2 sebab ianya tempat rujukan ramai.
Assalamuallaikum, saya menerima bahawa zakat itu wajib bagaimanapun ada beberapa persoalan berkenaan zakat pendapatan seperti berikut.
ReplyDeleteSoalan #1.
Mengapa kiraan zakat pendapatan menyerupai cukai pendapatan? Contohnya saya, isteri dengan 2 anak layak mendapat "Had Kifayah Isi Rumah" sejumlah RM16200. Persoalan dia, macamana penentuan RM16200 ini? Adakan ianya merupakan kos sarahidup saya sekeluarga untuk setahun? Jumlah ini menyamai RM1350/bulan. Adakah jumlah ini mencukupi untuk menampung kehidupan kami sekeluarga?
Soalan #2.
Merujuk kepada kiraan penentuan zakat perniagaan & zakat pendapatan, saya dapati untuk zakat pendapatan ada 'tolakan' untuk 'Hire Purchase, Financial / Capital Lease & Term Loans (current portion)'. Bagaimana pun untuk kiraan zakat pendapatan tiada 'tolakan' untuk perkara ini sedangkan saya mengambil loan rumah & kereta untuk sebagai keperluan hidup?
Soalan #3
Memandangkan saya mengambil pinjaman untuk membeli rumah, adakah saya dikaegorikan sebagai orang yang berhutang and adakan saya dikenakan zakat pendapatan?
Sekian, mohon penjelasan & terima kasih.
Assalamualaikum.
ReplyDeleteBetulkah cara saya, sekiranya saya membayar zakat simpanan dan pendapatan saya secara sekaligus, iaitu saya mengambil kira 2.5 % dalam semua akaun terkumpul saya kesemuanya.
Digunakan disini, gaji bersih dianggap baki dari semua perbelanjaan saya selama setahun dari setahun gaji yang dibiarkan bersama dengan simpanan dari tahun-tahun lepas dalam kesemua akaun termasuk pelaburan, kemudiannya jumlah tersebut saya anggap jumlah yang diwajibkan zakat darinya.
Terima kasih