Sambung diskusi lepas tentang zakat pada harta pusaka. Boleh baca artikel berkaitan di: http://drhasanah.com/2012/zakat-pada-harta-pusaka/
Artikel lepas hanya sempat membincangkan hukum zakat yang tidak dibayar semasa hidup. Perbincangannya menumpukan kepada apakah hutang zakat perlu dibayar dengan menggunakan harta pusaka si mati ataupun ia tidak perlu dibayar sama sekali atau mungkin hutang itu perlu ditanggung oleh waris.
Dalam artikel kali ini, saya akan membawa persoalan: Adakah harta pusaka yang diterima oleh ahli waris perlu dibayar zakat?
Saya telah cuba mencari fatwa di Malaysia yang berkaitan dengan isu ini tetapi tidak jumpa. Kalau anda jumpa, harap dapat kongsikan dengan sahabat pembaca yang lain :)
Jawapan pendek saya bagi persoalan ini ialah:
Tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa harta pusaka yang baru diterima perlu dikenakan zakat. Oleh itu, harta pusaka yang diterima tidak perlu dikenakan zakat. Namun, jika selepas itu ia berkembang biak (contoh, harta pusaka lembu jantan betina dulu telah berkembang biak jadi berkandang-kandang, maka ia wajib dikenakan zakat - tertakluk kepada segala hukum zakat yang berkaitan).
Ok, itu jawapan pendek yang boleh saya berikan.
HUTANG ZAKAT ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA
Berbalik kepada isu hutang zakat, maksudnya orang yang mati dalam keadaan belum bayar hutang zakat, perkara ini telah difatwakan dalam Fatwa Negara Brunei iaitu Siri 64/1983: Wajibkah dikeluarkan zakat bagi harta orang mati.
Walaupun fatwa ini bukan dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (Malaysia) dan ia telah dikeluarkan lama dulu iaitu sejak tahun 1983 lagi, namun hujah yang diberikan boleh dijadikan sebagai panduan untuk kita. (Fatwa ini tidak wajib digunakan oleh rakyat Malaysia)
Fatwa tersebut adalah seperti berikut:
Sukacita mendapatkan nasihat Pehin mengenai harta si mati sarna ada diwajibkan zakat ataupun tidak
Jawapan:
Berkata AI-Imam An-Nawawi yang mati tahun 676 Hijrah Rahimahullahu Ta 'ala, ulama pakar dalam ilmu Islam, dan ulama pakar dalam mazhab AI-Imam Asy-Syafi'e Radhiallahu 'anhu, dalam kitabnya AI-Minhâj, dan kitab AI- Minhâj itu dii'timâdkan ulama fiqh pada mengambil fatwa-fatwa serta syarahnya As-Sirâij AI-Wahhâj:
"Wajib dimulakan dan diambil dari pusaka orang mati:
1.Kerana belanja menyediakan mayat atau orang mati itu sekalipun ia kafir, dengan belanja kadar yang munasabah pada syara' iaitu belanja yang dikehendakkan oleh orang mati itu seperti kafan, pacai, upah mandi, upah mengusung dan upah menggali liang.
2.Dibayar segala hutang-hutangnya yang tertakluk dalam tanggungan dzimmahnya, dan dibayar lebih dahulu hutang Allah Ta'ala seperti zakat dan haji Islam, kemudian lepas itu dibayar hutang manusia yang ditanggung dalam dzimmahnya, setelah dibayar belanja menyediakan orang mati itu.
3.Diluluskan wasiat-wasiatnya dengan tiada lebih dari 1/3 (sepertiga) dari pus aka itu, setelah ditolak dan setelah dibayar belanja bagi menyediakan orang mati itu, dan setelah ditolak dan dibayar hutang-hutang Allah Ta'ala dan hutang-hutang manusia yang ditanggung dalam dzimmahnya.
4.Kemudian dibahagikan pusaka itu kepada waris-warisnya, setelah ditolak belanja menyediakan orang mati, dan setelah ditolak hutang-hutangny setelah diluluskan dan dibayar wasiat-wasiatnya.
Jika bergantung dan bersangkut sesuatu hak dengan " pusaka itu seperti pusaka wang $10,000 yang belum dibayar zakatnya, dan wang itu ada, tiada binasa, masih ada, wajiblah dibayar zakat wang itu dan dikeluarkan wang zakat itu dari pusaka itu, sebelum membelanjakan:
1.Pada perkara-perkara menyediakan orang mati.
2.Dan sebelum membayar hutang-hutangnya yang biasa.
3.Dan sebelum membayar belanja wasiat-wasiatnya
Kiranya pusaka wang $10,000 itu telah binasa, dan belum dibayar zakatnya, maka wajib dibayar zakatnya dari wang lain yang ada dalam pusaka itu, membayar zakat yang begitu meninggalkan waris dan tiada habis harta pusaka dibahagikan kepada waris-warisnya menurut kiraan faraidh, maka semua harta itu menjadi harta Baitulmal umat Islam dan tiada cukai di atas orang Islam hanya cukai dikenakan ke atas orang kafir kerana mereka mencukai orang Islam.
Wasiat orang kafir pada pusakanya tiadalah lebih dari 1/3 (sepertiga), bagaimana wasiat orang Islam dalam pusakanya, jika wasiat itu lebih dari 1/3 (sepertiga) maka yanglebih itu tiadalah lulus pada syara' Islam.
Tiada ada cukai di atas orang Islam hanya cukai dikenakan di atas orang kafir, kerana orang kafir mencukai orang Islam, kiranya orang Islam itu pergi ke tanah atau negeri mereka.
Orang Islam wajib membayar zakat pada wang ringgit, pada emas dan perak yang disimpan, dan pada binatang hidup¬hidupan lembu, kerbau, kambing biri-biri dan kambing biasa, dan tanam-tanaman yang mengenyangkan seperti padi, kacang hijau, gandum, jagung dan lain-lainnya, dan hasil perniagaan dan titrah dan kaffârah, apabila telah ada syarat-syarat pada perkara-perkara yang tersebut itu.
Raja boleh memungut zakat dan memberi zakat itu kepada orang fakir dan miskin (yang banyak bilangannya dalam dunia ini bagaimana diketahui oleh orang ramai) dan lain-lain yang berhak menerima zakat.
Selain dari itu Islam menggalakkan orang Islam membuat ',wakaf-wakaf tanah, rumah, kebun dan seperti kitab, perabut dan binatang tunggangan atau binatang susu dan sebagainya, dengan tujuan memberi kemudahan kepada orang yang sengsara, fakir, miskin, penuntut-penuntut ilmu Islam, penuntut-penuntut yang lain yang bukan menuntut ilmu Islam jika ilmu itu berfaedah dan berguna pada umat Islam dan pertahanan negeri Islam, seperti jurutera, doktor sakit dan lain¬-lain seumpamanya yang digemar dan digalakkan oleh Islam.
Dengan ada waqaf itu maka negeri Islam selamat dari diambil oleh orang lain yang bukan Islam akan tanah-tanah negeri Islam itu, kerana sesuatu tanah apabila diwaqafkan, maka terlepas hak tuannya dan berpindah hak waqaf itu kepada Allah Ta’ala dan tiada boleh dijual 'ain atau zat waqaf itu, tiada boleh dibeli dan tiada boleh diwarisi dan tiada boleh diberikan kepada orang, dan faedah serta hasil waqaf itu diberikan kepada orang-orang yang tersebut dalam wathîqah waqaf itu seperti orang fakir, kerabat sendiri, orang yang pergi berperang sabîlillâh mempertahankan negeri Islam, orang yang belayar, penuntut-penuntut ilmu Islam dan orang-orang yang lemah dan cacat dan sebagainya.
Waqaf-waqaf ini banyak terdapat dalam negeri Islam sebagai misal seperti Universiti Al-Azhar hidup dan sara hidupnya didapati dari hasil waqaf-waqaf seperti waqaf kepada ulama AI-Azhar, penuntut-penuntut AI-Azhar yang am dan seperti penuntut-penuntut AI-Azhar dari bangsa Mesir, dan bangsa Maghribi dan bangsa Syam dan seperti penuntut Al-Azhar dari daerah itu dan daerah ini. Dan ada waqaf kepada siapa yang menjadi ketua besar Al-Azhar dan hasil waqaf ketua Al-Azhar itu pada masa sebelum perang dan dunia kedua 7,000 pounds Mesir sebulan. Dan manakala Perdana Menteri Mesir mendapat gaji 3,500 pounds Mesir sebulan dan keldai tunggangan ketua besar itupun ada mempunyai waqafnya sendiri kerana memelihara keldai tunggangan itu. Ini sebagai contoh faedah waqaf dalam negeri Islam.
Sebagai misal bahawa di bandar Istanbul sebahagian besar tanah-tanahnya telah diwaqafkan menurut cerita tuan guru kami.
Inilah setengah-setengah dari faedah waqaf yang terpulang faedahnya pada seluruh umat Islam.
Jawabnya harta pusaka orang mati yang berhubung dengan zakat dan belum dibayar zakatnya pada masa ia hidup atau zakat-zakat pada hartanya yang lain dari pusaka itu yang belum ia bayar zakatnya dan ia mati, maka wajiblah dibayarkan zakatnya dari pusakanya yang ada itu.
Begitu juga diambil dari pusaka itu belanja haji Islam dan kaffârah puasa dan sebagainya jika ada, kerana ia sudah jadi hutang orang mati itu kiranya ia belum mengerjakan haji Islam dan belum bayar kaffârah itu.
Tiada harus diambil dari pusaka itu untuk kenduri dan sedekah kerana orang mati itu, sebab pusaka itu sudah tertakluk pada 4 (empat) perkara yang tersebut pada (I) di atas. Jika waris¬-waris yang sempurna (kâmil) itu mengizinkan, maka sah dan lulus belanja kenduri itu dan waris-waris yang tiada kâmil tiadalah sah izinnya itu, dan tiada lulus belanja kenduri dan sedekah itu.
Keutamaan pada membelanjakan dan mengeluarkan belanja dari pusaka pada perkara-perkara zakat yang bergantung dengan 'ain pusaka, pada menyediakan orang mati, pada membayar hutang-hutang Allah Ta'ala dan hutang manusia dan pada belanja wasiat, hendaklah mengikut tertib yang tersebut diatas itu pada angka I, dan angka 2, di atas itu.
Begitulah, mengikut kitab AI-Minhâj, At-Tuhfah, Syarh Ar-Raudh, Fath AI-Mu'în, dan Syarh Shahîh Muslim dan As-Sirâj .Wahhâj.
Negara asal : Brunei darussalam
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Ustaz Awang Haji Abdul Aziz Bin Juned &Dr Hj Ismail Bin Omar Abdul Aziz
Tarikh Diisu : 1983
Fatwa Brunei ini dipetik daripada: Laman Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia, USIM
salam doktor..
ReplyDeletesaya ingin bertanya baru-baru ini abg sebapa saya telah meninggal dunia.simati masih belum berkahwin, waris yang tinggal adalah seperti berikut;
1. seorang abang seibu sebapa
2. 2 orang adik perempuan seibu
3. adik perempuan sebapa
4. adik lelaki sebapa
ibu dan bapa simati telah meninggal dunia semasa beliau meninggal. sebelum abang meninggal beliau ada mengatakan bahawa tanah di sesuatu tempat hendak diberikan kepada saya tetapi belum ditukar kepada nama saya. bolehkah saya menuntut tanah yang dimaksudkan? selain itu, beliau juga ada mengatakan kepada saya boleh mengambil wang simpanannya selepas beliau meninggal dan saya dinamakan sebagai penama akaun simpanannya,adakah ini dikira wasiat kerana saya bukan waris yang layak kerana telah terhijab oleh abang seibu sebapa simati? perlukah saya membahagikan wang tersebut?
bolehkah abang simati menuntut harta pusaka simati kerana sebelum ini abang simati telah mengenepikan simati dalam tuntutan harta pusaka arwah ibu mereka?