Memahami Isu Harta Sepencarian - Peruntukan Undang-undang Berkaitan Harta Sepencarian di Malaysia

Main Posts Background Image

Main Posts Background Image

Sunday 25 July 2010

Memahami Isu Harta Sepencarian - Peruntukan Undang-undang Berkaitan Harta Sepencarian di Malaysia



Sambung diskusi tentang harta sepencarian. Tempohari saya telah bawa isu pendefinisian harta sepencarian. Kali ini kita akan melihat pula topik harta sepencarian dari sudut peruntukan undang-undang. Berikut ialah sebahagian daripada kandungan kertas kerja saya dan rakan penyelidik yang telah dibentangkan dalam Seminar Pengurusan Harta Islam di UKM minggu lepas.

Pada masa sekarang, setiap negeri telah ada peruntukan khas bahawa seorang wanita atau lelaki yang telah bercerai boleh memfailkan permohonan kepada Mahkamah Syariah untuk mendapat satu perintah tentang pembahagian harta sepencarian. Mengikut peruntukan di dalam Undang-Undang Keluarga Islam 1984, Seksyen 54 tentang Kuasa Mahkamah dalam membuat pembahagian harta sepencarian. Seksyen itu berbunyi seperti berikut:

Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Dalam amalan dan tradisi adat masyarakat Melayu juga telah memperuntukkan bagi isteri-isteri supaya mendapat bahagian dari harta sepencarian oleh kerana mereka melibatkan diri sama ada secara langsung atau tidak langsung membantu suami dalam pekerjaan dan usaha untuk mendapatkan harta. Pengiktirafan adat sebagai sumber perundangan Islam telah dijelaskan melalui kaedah fiqh ‘Adat Diterima Sebagai Hukum’ (al-‘adah muhakkamah). Adat yang juga dikenali dengan istilah ‘urf telah didefinisikan sebagai ‘sesuatu yang telah  menjadi kebiasaan oleh manusia dan mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka dan menjadi suatu perkara yang lumrah.’ Jika tidak ada nas yang bertentangan dengan hukumnya yang asal atau terdapat nas tetapi secara umum, maka adat itu diakui.

Keterbukaan pelaksanaan undang-undang kepada hukum adat merupakan satu jalan yang membuka ruang ijtihad yang sangat luas. Memandangkan masih terdapat lakune dalam undang-undang berkaitan harta sepencarian, maka mahkamah selalunya memilih untuk sama ada membahagikan harta yang dituntut kepada 1:1 atau 1:2 di antara plaintif dan defendan dengan mengambil kira takat sumbangan kedua-dua belah pihak. Perkara ini sudah cukup untuk menjelaskan bahawa tidak terdapat cara pembahagian yang jelas yang akhirnya akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan kepada kedua-dua belah pihak. Walau bagaimanapun, dalam kes Norsiah binti Arshad lwn. Marsum bin Paing (2004), mahkamah telah membahagikan sebahagian harta secara 1:1 dan sebahagian yang lain secara 1:2.

Perkembangan mutakhir mengenai harta sepencarian adalah pindaan baru Akta A1261 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2006, pemakaian konsep harta sepencarian telah lebih terbuka luas lagi, iaitu bukan sekadar diperolehi ketika berlaku penceraian suami isteri malahan boleh didengar dan diputuskan oleh mahkamah ketika permohonan poligami suami. Akta ibu Seksyen 58(1) telah dipotong dan diadakan seksyen baru iaitu Seksyen 122(1) peruntukan bagi kuasa mahkamah, apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah penceraian, untuk memerintahkan pembahagian apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dengan usaha bersama mereka dan Seksyen 23 Akta ibu dengan memasukkan peruntukan baru selepas sub-seksyen (9) (b) memberi kuasa kepada mahkamah yang membenarkan permohonan berpoligami suami untuk memerintahkan apa-apa aset yang telah diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan itu melalui usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.

Kesemua peruntukan undang-undang tersebut masih berkisar dalam lingkungan suasana suami isteri masih dalam perkahwinan ataupun penceraian hidup. Namun, masih tiada peruntukan secara khusus mengenai kuasa mahkamah mendengar dan memutuskan harta sepencarian ketika berlaku penceraian kematian samada di pihak suami atau isteri yang dinamakan harta sepencarian dalam harta pusaka.


 Haji Muhamad Asri bin Haji Abdullah (2002), Pelbagai Perspektif Kekeluargaan Islam, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, hal. 224.

Al-Suyuti (1404), al-Ashbah wa al-Naza’ir, Misr: Maktabah Mustafa al-Babi al-Halabi, hal. 180; lihat juga ‘Abd al-Karim Zaydan (1994), al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, Beirut: Mu’assasah al-Risalah, hal. 252.

Ibrahim Lembut. (12-14 Jun 2007). Kaedah Dan Keseragaman Di Dalam Cara Pembahagian Harta Sepencarian Harta Pusaka Islam. Konvensyen Perwarisan Harta Islam. Amanah Raya Berhad, Kuala Lumpur. Hal: 9.

2 comments

  1. Slm..saya masih kurang faham..terutama bagi pasangan yg tidak mempunyai zuriat..bagaimana harta atas nama suami 100% hasil dari suami di agihkan jika berlakunya perceraian, poligami dan bercerai mati

    ReplyDelete
  2. salam,apa peruntukkan undang-undang di malaysia berkaitan bidangkuasa mahkamah syariah berkaitan tanah dalam harta sepencarian.

    ReplyDelete

Error 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage