Warkah tak diundang....

Main Posts Background Image

Main Posts Background Image

Monday, 30 July 2007

Warkah tak diundang....

Ini bukan kali pertama. Sudah bebapa kali saya diajukan persoalan yang semacam ini.
Setiap kali warkah seperti ini mengetuk peti mail saya, pasti nafas saya akan terhenti seketika. Apa yang telah berlaku dengan generasi yang bakal menggantikan kita suatu masa nanti?

Fikirkanlah…

Assalamualaikum Dr..saya xxxxxxxxxxxx. ingin mengajukan masalah saya kepada Dr..sekiranya seseorang pelajar telah terlibat dengan zina tetapi mahu bertaubat dan mengubah cara hidupnya.namun,desakan hawa nafsu tidak dapat dikawal.ingin berkahwin tetapi kedua belah keluarga belum bersetuju kerana si lelaki masih belajar.ingin menceritakan perkara sebenar yang telah berlaku, takut keluarga terkejut dan memandang serong.jadi, bagaimana yang harus dilakukan agar dosa-dosa besar tersebut dapat ditinggalkan.pasangan tersebut saling menyayangi. adakah patut berkahwin secara sembunyi-sembunyi bagi mengelakkan berulangnya dosa-dosa besar tersebut?atau menceritakan kepada ibu bapa tentang perkara tersebut?dosa-dosa tersebut menyebabkannya tertagih untuk melakukannya kembali walaupun pelbagai langkah telah diambil untuk mengelakkannya.harap Dr.dapat membantu dalam masalah ini.sekian,terima kasih.

Saya boleh membalas emel ini. Tapi, mungkinkah ia dapat membantu menyelesaikan masalah? Mungkinkah perkara ngeri itu takkan berlaku lagi. Mungkinkah syaitan akan berhenti merenggut-renggut nafsu durjana yang bakal menghumbankan pelakunya ke dalam api neraka?

Saya hanya mampu menulis….

Waalykumussalam,

Hidup ini penuh dengan dugaan yang tak terjangka. Tak tahu bagaimana sukar menghadapi cabaran pada hari ini. Tak terjangkau juga di akal fikiran apakah yang akan berlaku esok hari.

Cinta yang kita sangka sangat indah, tak puas rasanya jika tidak diluahkan tanpa beradu asmara meluahkan setiap inci rasa yang terbuku di dada. Terlupa kita bahawa kenikmatan yang dirasa hanya sementara, kelazatan yang dicita kadangkala hanya tipu helah syaitan durjana. Tidak terfikir di akal fikiran andainya tiba2 perilaku terkutuk dibongkar dek rakan dan jiran. Tidak terasa di lubuk jiwa bagaimana jika tiba2 ada jantung berdegup di rahim perempuan rasukan syaitan yang berada dalam pelukan……..Tidak peduli walau sekelumat pun andai ibubapa yang setiap saat berdoa untuk kejayaan dan keteguhan agama kita akhirnya tahu amarah syaitan yang telah merobohkan benteng iman dan maruah kita…… Tidak terfikirkah kita, andainya degup janin tidak berdosa di rahim perempuan itu, jika suatu masa nanti kita dapat tahu bahawa dia juga sanggup melakukan perbuatan terkutuk yang mungkin lebih dahsyat lagi? Tanpa rasa malu… tanpa pernah peduli… tanpa guna akal dan timbang diri….

Kenapa mesti kita tidak peduli semua itu?

Kenapa?

Nafsu syaitan lebih dahsyat dari bahang api. Kita sangka sungguh enak berdiang api. Kita pun memulakan bibit perkenalan yang kononnya fitrah semulajadi. Tidak sempurna kalau tidak belanja makan dan tengok wayang, kerana itu penting untuk mengenali hati budi, kononnya… Kasihan melihat kesusahan dia membeli belah, maka kita pun hantar dan temankan, bimbangkan keselamatan kononnya… Bergurau senda tidak henti, usik-mengusik tiada batasnya. Berpimpin tangan, bercubit-cubitan tanpa punya harga diri. Masa itu, syaitan tersenyum menayang taring… “nampaknya, ada daging yang dapat kuratah hari ini…”. Makin halus jarum dicucuk. Digeletek-geletek hati si lelaki supaya membeli vcd entah apa-apa warnanya. Murah! RM5 pun boleh dapat. Di BJ, SG, pasar malam, alah… kat mana-mana pun ada!

Malam pun bertaut. Solat? Entah. Apa tu? Pulang ke rumah sang perempuan. Kebetulan rakan serumah semua balik kampung. Kala itu, VCD pun dipasang. Dan, masa itu, mungkinkah bahang api menjadi dingin? Mungkinkah bahang api menjadi halus dan terbang bak angin? Mustahil! Syaitan lebih bijak dari itu. Janjinya di hadapan Allah s.w.t untuk menyesatkan dan merosakkan keturunan Adam tidak pernah dimungkiri. Sekurang-kurangnya dia masih menepati janjinya. Tetapi, janji kita di hadapan Allah? Janji kita di hadapan ibubapa? Janji kita kala baru menabur jejak di universiti? Ikrar kita yang bertabur di mana-mana?

Astaghfirullah….

Astaghfirullah al-Azim….

Bertaubatlah. Bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh. Bertaubatlah dengan keazaman yang jitu. Bertaubatlah dengan rasa, dengan jiwa, dengan akal dan juga fizikal. Pohonlah keampunan dengan bersungguh-sungguh. Ratapilah kesalahan yang telah dilakukan. Tangisilah kezaliman yang dahulu tak termampu untuk dielakkan. Kesalilah setiap bibit dosa yang telah dicatat oleh malaikat yang menyaksikan semua peri dan tingkah yang memuakan. Biar bengkak mata menangisi dosa di dunia, jangan hancur badan di mamah api neraka, hingga menjadi pula bahan bakar yang menjulangkan lagi api neraka. Tak tergambar bagaimana rasanya dibaham julangan api mengganas. Tempat berpijak juga hanyalah bara api dari tubuh garing manusia durjana. Di mana-mana pun api. Menggelegak otak kepanasan. Azabnya…. Setiap dosa yang telah dihitung dibalas dengan seksaan yang tidak terhingga. Sementelah dosa zina yang bergunung itu… Azabnya……

Firman Allah s.w.t. apabila berbicara tentang zina, maksudnya:

Barangsiapa yang melakukan demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari Kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina kecuali orang-orang yang bertaubat …

(Al-Furqan: 70). Maka, bertaubatlah… bertaubatlah…. Mudah-mudahan kita terhindar dari azab yang maha menyeksakan….

Dengan si dia….

Aduhai seksanya jiwa raga kalau tak dapat meratah daging dosa….

Tapi, kuatkanlah semangat. Minta kerjasama si dia. Katakan selalu, “kita terpaksa berjauhan seketika. Sabarlah… kuatkan semangat. Cukup dahulu ketelanjuran yang lalu. Kita mesti mulakan hidup baru yang lebih selamat dan bahagia hendaknya. Bukannya diburu dosa demi dosa…”

BERJAUHAN adalah satu kemestian. Biarpun terseksa, tapi, ia mesti dilakukan. Biarpun tiada cara, tapi, ia mesti diusahakan. Dapatkanlah buku agama yang dijual begitu murah di mana-mana. Buku tentang indahnya syurga, tentang azabnya neraka, tentang akhlak dan akidah…. Jadikan ia hadiah ‘surprise’ untuk si dia. Mudah-mudahan pintu taubat juga terbuka dihatinya.

Dengan kedua ibubapa, dapatkanlah persetujuan mereka. Mohon restu bersungguh-sungguh. Yakinkan mereka, walaupun masih belajar, tapi, pelajaran takkan terabai. Fikirkan jalan tentang penyaraan keluarga. Jika ada biasiswa/pinjaman, maka yakinkan kedua ibubapa bahawa berjimat-cermat akan menjadi amalan dan duit tak akan dihabiskan begitu sahaja. Jika tiada pinjaman, fikirkan dengan wang tambahan dari mana-mana. Atau katakan sahaja, ibubapa si perempuan masih sanggup menyara anak perempuannya walaupun telah berkahwin, hinggalah dia habis belajar dan bekerja.

Tak perlu bertunang lama-lama. Kalau boleh langsungkan terus. Ataupun, bertunang dalam seminggu-dua, kemudian terus dilangsungkan. Bagilah alasan, tarikh tak kena, lambat sangat pun susah, takut dosa bila berdating (walhal yang lebih ngeri telah berlaku). Berterus terang dengan ibubapa tentang apa yang berlaku ada risikonya. Cuba elakkan. Tetapi kalau dah terlalu mendesak, mungkin terpaksa juga membuka pekong di dada.

Risikonya, si perempuan mungkin akan dibenci sampai bila2, walhal dosa itu tak mungkin berlaku jika dia bertepuk sebelah tangan. Malah, selalunya, si lelakilah yang menjadi punca merayu menghiba si gadis supaya rela menyerah segala!

Semua proses ini mengambil masa yang sangat menyeksakan. Walaupun sehari, terasa bagai bertahun menanti. Jadi, dalam tempoh itu, hendaklah kita BERPUASA.

Berpuasalah sebanyak-banyaknya. Jangan peduli apa orang lain kata. Ini antara kita dengan tuhan. Ini untuk memelihara maruah dan agama. Ini untuk memelihara menghindarkan dari hasutan syaitan dan menjaga kemaluan. Kuatkan tekad dan semangat. Berdoa dan berdoa sepanjang hari. Semoga sentiasa berada dalam peliharaan Allah s.w.t.

Jika benar-benar tiada jalan. Maka keputusan berat terpaksa diambil. Bukan kawin lari, kerana itu pantang keturunan. Pergilah kepada pejabat agama di tempat si perempuan tinggal. Katakan bahawa seruan perkahwinan telah sampai, tetapi, keluarga tidak mengizinkan termasuk wali si perempuan. Katakan, bahawa hati yang bertaut sudah gundah gulana dan tidak mampu menahan rasa serta BIMBANG terjebak melakukan sesuatu yang diluar batasan. Masuklah sesi kaunseling. Mohonlah bantuan mereka untuk menyatukan kalian berdua dengan cara yang baik dan sah… kemudian bertawakkallah!

Wallahu a’lam

3 comments

  1. tu la die Doc.. masalah remaja skrg.. mungkin betol kate doc, laki la bnyak merintih merayu... tp kalau la si pompuan jgn kasi line access.. jual mahal2 skit.. rasenye fedup gak si mamat2 tu.. nk kate di sini , dua - dua lah seimbang.. buat salah... ape2 hal, puase gak obat die..
    Bagi yg terlanjur, saye arap jgn putus arapan.. selagi ombak memukul pantai, selagi pungguk merindui bulan... dan selagi matahari masih bersinar... mintak ampun.. Allah baik.. die mesti kasi can nye.. ok.. ingatla.. korang x keseorangan... org lain pun cam tu gak berperang ,melawan nafsu.. siap ade yg buat calculation...formular2 hahaha... yg tu kire nk lawan dr kaedah sainitifik.. as long as kita mencuba.. tuhan pasti tersenyum melihat kesungguhan kite..
    mekacih..

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Zu????wll (apa tu? tak paham!)

    Tersentuh bila baca kata-kata semangat yang diberikan... "Bagi yg terlanjur, saye arap jgn putus arapan.. selagi ombak memukul pantai, selagi pungguk merindui bulan… dan selagi matahari masih bersinar… mintak ampun.. Allah baik.. die mesti kasi can nye.. ok.. ingatla.. korang x keseorangan… org lain pun cam tu gak berperang ,melawan nafsu.. "

    Mudah-mudahan ada yang bertambah bersemangat melawan dakyah amarah syaitan....

    ReplyDelete
  3. Amir al-Mukminin ‘Umar bin al-Khattab pernah menyebut kepada kaum Arab: ‘‘Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah.’’ Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, cetakan: Dar al-Ma‘rifah, Beirut ).

    Surah A-Imran(3), Verse 135;
    "And those who, when they do an evil thing or wrong themseves, remember Allah and implore forgiveness for their SINS. Who forgiveth SITH save Allah only?.and will not knowingly repeat (the wrong) they did."

    semuga Allah menghantar bantuan kepada saudara seagama kita dalam menjaga dirinya..
    semoga sentiasa dalam Rahmat Allah..

    ReplyDelete

Error 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage