July 8th, 2008 at 11:25am

Banyak sangat benda yang berlaku kebelakangan ni. Student lama dan baru dah masuk semula ke desa untuk sesi 2008/2009. Kuliah pula bermula hari ni. Macam biasa, kena ajar subjek paling panas: MUNAKAHAT a.k.a. Institusi Kekeluargaan Islam….. selain beberapa subjek lain termasuk subjek master.
Malam tadi buat rondaan kat desa-desa dalam USM. Pukul 2 pagi baru habis. Hening, sunyi, tenang, sedih, marah, benci, risau… macam-macam perasaan timbul tengok USM after dark. Pagi ni pening lalat… ngantuk maaa…..
Dalam masa yang sama servis hosting untuk blog ni dah nak expired, nak kena renew balik. Cadang-cadang nak pindah server, so, banyak pula isu teknikal yang akan timbul. Untuk beberapa hari mungkin tak dapat update apa-apa sebab nak kena selesaikan perkara ni dulu. Ada banyak domain sharing dalam hosting ni, so , banyak kerja la nak buat. Sabar ye, nantilah bila dah selesai isu teknikal kita gegarkan Malaysia!!! hihii…
sebenarnya…
banyak sangat benda nak ditulis kat dalam ni…. terlalu banyak, tapi biarlah ia menjadi mIstEri……
July 5th, 2008 at 11:14pm
Kadang-kadang memang nak marah kat hosting provider. Masa tengah edit post lepas tentang Seminar Terkini di USM, tiba-tiba je hilang habis post tu. Iey… geramnya!
Dipendekkan cerita, kalau nak lihat maklumat lanjut tentang seminar tu, sila klik: http://www.usm.my/semlis2008
June 30th, 2008 at 12:19am
June 27th, 2008 at 9:53am
Enam purnama telah berlalu. Kesedihan kami sekeluarga masih tidak hilang. Kerinduan di hati masih kukuh tidak berkurang. Melihat Huda yang baru berusia 2 tahun menangis terkenang ayah ketika saya, Hanan dan Husna membaca Yasin malam tadi, Allah… tuhan sahaja yang tahu bagaimana rasanya ketika cuba memujuk dia agar jiwanya kembali tenang.
Enam purnama telah berlalu. Rasa seperti tidak percaya semuanya telah berlaku ke atas saya dan 5 zuriat kesayangan. Namun, ketentuan tuhan pasti akan terlaksana sebagaimana yang telah dirancang. Biar pun begitu perit rasanya dugaan, tetapi setiap yang dirangka oleh Yang Maha Esa pasti mempunyai HIKMAH yang sangat besar, tak mampu ditelah oleh akal cetek seorang insan…
Enam purnama telah berlalu. Sudah terlalu lama hidup dalam kesedihan. Mungkin sudah sampai masanya untuk saya tidak lagi berpaling ke belakang. Kehidupan mesti diteruskan. Kalau terus ditangisi yang telah pergi, tak mungkin saya sekeluarga dapat meredah dugaan yang setiap hari datang pergi tiada kesudahan.
June 18th, 2008 at 11:13am
Pertama kali dalam blog ini saya bermonolog meluahkan kesedihan yang tidak tertanggung rasanya. Cukuplah untuk dua hari monolog itu disiarkan dalam blog ini… sehari sempena hari bapa dan sehari lagi sempena ulangtahun kelahiran Ustaz Rosdi yang ke-37. Semoga Allah s.w.t. memberikan keampunan dan rahmat buatnya.
Saya rasa sangat perlu untuk unpublished monolog dua hari lepas kerana setiap kali saya membacanya, badai kesedihan akan menghempas kembali…
June 2nd, 2008 at 10:48pm
This day will change the world!!!
Pagi-pagi lagi saya ke Desa Tekun, USM. Lapor diri sebagai Penolong Penggawa! Suspen, teruja, berdebar-debar, resah, gembira semuanya ada. Maklumlah, tugas baru ni sangat berat. Menuntut banyak pengorbanan dan kesabaran. Semoga Allah s.w.t. mudahkan segala urusan dan memberkati setiap yang saya usahakan. Amiin…
* Penolong penggawa? Apa tu?
–> Macam penolong warden la. Tapi anak ramai. Seribu lebih! Jenuh kepung…
May 29th, 2008 at 11:11am

“Huda nak jadi blogger macam emak!”
“Emak,” rengek Husna.
“Kenapa?” Saya memandang wajah comel anak kedua yang akan menyambut hari jadi ke-8 esok.
“Emak tak payah kerjalah hari ini,” pintanya. Dahi saya berkerut.
“Kerja banyak kat USM. Lagipun hari Sabtu lepas mak dah bawa ke Zoo Taiping. Hari Ahad balik kampung. Ziarah kubur ayah lagi.” Saya cuba memujuk. Cuti sekolah, pasti membosankan bagi anak-anak jika duduk di rumah sahaja. Namun, tak mungkin saya pun turut bercuti sepanjang dua minggu cuti sekolah. Tugas di USM banyak. Sementelahan saya telah bercuti terlalu lama selepas melahirkan Hajar.
“Husna nak main teka-teka perkataan macam tadi,” Husna menjelaskan.
Read the rest of “Tips mengawal anak-anak dari pejabat” »
May 28th, 2008 at 4:50am

Air mata tak dapat ditahan lagi.
Merintih dia kepada lelaki itu mengharapkan dia tidak ditinggalkan seorang diri. Dia bimbang yang amat sangat. Melihatkan pasir dan batu di sekelilingnya, bagaimana mungkin dia dapat hidup di tempat yang kering kontang dan begitu asing seperti itu.
“Adakah ini perintah tuhan-Mu?” Tanya Hajar.
“Ya”. Pendek dan lesu jawapan Nabi Ibrahim.
Nabi Ibrahim berkata kepada Hajar, “bertawakkallah kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke sini dan Dialah yang akan melindungimu dan menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sesungguhnya kalau bukan perintah dan wahyu-Nya, tidak sesekali aku tergamak meninggalkan kamu di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat kucintai ini. Percayalah wahai Hajar bahwa Allah Yang Maha Kuasa tidak akan melantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya, insya-Allah.”
Read the rest of “Azimat Hajar” »
May 27th, 2008 at 12:53am
Tempohari kita dah sentuh tentang tempoh iddah jenis pertama, iaitu 3 kali suci.
Jenis kedua pula ialah 3 bulan
Siapa yang perlu beriddah selama 3 bulan? (diulangi, 3 bulan. Ia berbeza dengan 3 kali suci)
Perempuan yang perlu beriddah selama 3 bulan ialah perempuan yang belum pernah didatangi haid atau yang telah berhenti haidnya. Sekiranya dia diceraikan, maka dia perlu mengira iddah dari hari perceraian hinggalh cukup tiga bulan Qamariyyah. Perlu diingatkan, tempoh 3 bulan ini tidak semestinya 90 hari. Hal ini kerana dalam kalender Islam, ada kalanya jumlah hari sebulan ialah 29 hari dan ada kala berjumlah 30 hari. Tetapi tiada yang berjumlah 31 hari!
Read the rest of “Tempoh Iddah - Bahagian 2″ »
May 20th, 2008 at 12:47am
Sambung semula perbincangan tentang iddah.
Tahukah saudara berapa lamakah seseorang perempuan perlu beriddah? Satu bulan? Tiga bulan? Empat bulan? Sampai mati? atau berapa sebenarnya?
Read the rest of “Tempoh Iddah - Bahagian 1″ »
May 11th, 2008 at 10:05pm
-
-
2 minggu [sedang berfikir...]
-
-
1 bulan [comelnya...]
-
-
2 bulan [mula bercerita!]
Berbicara tentang pengalaman, terlupa untuk mencatatkan tentang kelahiran seorang puteri pada 31 Januari 2008.Pengalaman melahirkan anak tanpa suami tercinta tak mungkin dapat dilupakan…
Saat-saat menanti hari untuk bersalin sangat mendebarkan dan menggusar perasaan. Sudahlah kandungan dirasakan lebih besar dari selalu, suami pula tiada untuk membantu secara moral dan fizikal sementelahan anak yang empat orang masih kecil dan sentiasa meminta dilayan dan diberikan perhatian.
31 Januari 2008
Seperti selalu, tarikh jangkaan bersalin tidak pernah tepat. Selepas 3 hari ‘overdue’ barulah terasa ‘contraction’ seawal jam 5.30 pagi. Saya sentiasa memerhatikan jam. Sakit masih jarang-jarang. Sekitar 20 minit sekali. Pengalaman bersalin empat kali sebelum ini membuatkan saya masak benar dengan sakit bersalin. Walaupun terasa sakit, saya masih boleh sambung tidur! Saya tahu, saya perlu cukup rehat untuk bersalin.
Read the rest of “Permata baru” »
May 9th, 2008 at 5:12pm
Kerana tidak tahu dari mana hendak bermula, maka biarlah saya jana semula penulisan berdasarkan pengalaman saya yang baru kematian suami.

Melangkah pergi yang tiada kembalinya…
Seorang wanita yang diceraikan atau kematian suami hendaklah beriddah. (Dieja juga dengan idah, edah, eddah, ‘iddah).
Apa maksud iddah?
Iddah ialah satu jangkamasa tertentu yang wajib dilalui oleh seorang perempuan yang baru diceraikan oleh suaminya ataupun kematian suaminya.
Tujuan beriddah ialah untuk memastikan rahim perempuan itu kosong dari sebarang kandungan. Ia juga dapat memberikan ruang masa bagi suami rujuk semula kepada bekas isterinya. Bagi wanita yang kematian suami pula, tempoh iddah dianggap sebagai tempoh berkabung bagi menunjukkan kesedihan ke atas pemergian suaminya.
Read the rest of “Iddah” »