Bagaimana mahu menyucikan hati dan jiwa?

Main Posts Background Image

Main Posts Background Image

Saturday 10 March 2012

Bagaimana mahu menyucikan hati dan jiwa?



Islam dibina di atas dua asas yang kukuh iaitu rukun iman dan rukun Islam. Pembinaan rukun iman yang bergantung kepada Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyyah tidak sempurna tanpa meletakkan rukun Islam sebagai intepretasi bagi keimanan. Rukun Islam yang lima iaitu shahadah, solat, puasa, zakat dan haji ini merupakan satu cara yang digariskan oleh syarak sebagai aktiviti peribadatan yang khusus untuk umat Islam.

Perkataan ibadat berasal daripada bahasa Arab, ibadah. Ia bermaksud taat, tunduk, patuh dan merendahkan diri. Ibadat jika dilihat daripada persepektif syarak, boleh mencakupi maksud yang lebih luas daripada sekadar taat dan merendahkan diri. Ibn Taymiyyah apabila membicarakan tentang subjek ibadat berpendapat bahawa ibadat yang diperintahkan oleh Allah (s.w.t.) mengandungi maksud merendahkan diri dan cinta. Maksudnya, ibadat dilakukan sebagai tanda tunduk dan patuh kepada Allah (s.w.t.) selain sebagai tanda cinta kepada-Nya. Malah, setiap insan wajib menjadikan Allah (s.w.t.) sebagai kemuncak cintanya.

Oleh yang demikian, intepretasi ibadat yang dituntut dalam Islam hendaklah memenuhi dua ciri. Pertama, hendaklah beriltizam atau berpegang teguh kepada apa yang disyariatkan oleh Allah (s.w.t.) dan rasul-Nya. Kedua, hendaklah iltizam ini lahir dari hati yang kasih kepada Allah (s.w.t.). Hakikatnya, terdapat beberapa sebab kenapa seseorang itu perlu beribadat sebagai tanda kasih dan cinta kepada Allah (s.w.t.). Antaranya termasuklah sebagai tanda bersyukur kepada tuhan yang telah mencipta kewujudannya, mengurniakan kecantikan dan kesempurnaan pada dirinya, memberikannya berbagai nikmat dan kebaikan, menghalangnya daripada ditimpa kesusahan dan sebagainya.

 Ibadat dalam pengertian yang lebih luas lagi ialah segala yang disukai oleh Allah (s.w.t.) dan diredhainya sama ada yang berbentuk perkataan mahupun perbuatan zahir dan batin. Antaranya termasuklah solat, puasa, zakat, haji, jujur, amanah, sabar, berbuat baik kepada ibubapa, mengeratkan silaturrahim, mencegah kemungkaran, mengajak orang lain melakukan kebaikan, berjihad, memelihara anak yatim, berbuat baik sesama makhluk termasuklah kepada binatang, berzikir, berdoa, membaca al-Quran dan sebagainya.

Oleh yang demikian, ibadat dalam Islam tidak terhad kepada rukun Islam yang lima semata-mata. Sebaliknya, ia mencakupi ruang lingkup yang jauh lebih luas dari itu. Malah, Ibn Taymiyyah secara tegas menyebut bahawa agama itu secara keseluruhannya adalah ibadat.

Konsep ibadat sebagai satu lambang ketaatan dan kasih sayang kepada Allah (s.w.t.) hendaklah difahami dengan sebenarnya. Hal ini demikian kerana kadangkala terdapat pihak yang tersalah faham falsafah di sebalik ketaatan dan kasih sayang tersebut. Ia boleh menyebabkan seseorang melakukan ibadat secara berlebih-lebihan, malah lebih hebat daripada para rasul sendiri dengan tujuan hendak mencapai darjat yang tinggi di sisi Allah (s.w.t.). Salah tanggapan ini menyebabkannya meninggalkan pelbagai urusan dunia dan menyerahkan dirinya semata-mata untuk beribadat kepada Allah (s.w.t.). Perbuatan ini tidak ubah seperti rahib dalam agama Kristian yang cuba membuang semua kenikmatan dunia dan menafikan fitrah naluri kemanusiaan termasuklah dalam hal berkeluarga.

Ibadat yang dilakukan dengan dua asas iaitu ketaatan dan kasih sayang kepada Allah (s.w.t.) tidak pula menafikan sifat takut dan gentar dengan kekuasaan Allah (s.w.t.) ke atas makhluk-Nya. Perasaan kasih sayang boleh bergabung dengan perasaan takut. Malah, ia adalah perasaan yang perlu bagi menggambarkan kasih sayang. Hal ini kerana apabila seseorang itu berasa kasih kepada tuhannya, dia akan beribadat dengan sepenuh hati, ikhlas, mengharap, khusyuk, takut dan gentar. Peribadatan seseorang tidak sempurna jika dia tidak melakukannya dengan pengharapan yang sangat tinggi dan merasa takut dengan kekuasaan tuhannya. Hal ini digambarkan oleh Allah (s.w.t.) dalam firman-Nya (surah al-Isra', ayat 57):

أولئك الذين يدعون يبتغون إلى ربهم الوسيلة أيهم أقرب ويرجون رحمته ويخافون عذابه، إن عذاب ربك كان محذورا


Penghayatan hakikat ibadat dalam Islam secara tidak langsung mampu membawa kepada penyucian hati dan jiwa seseorang. Hal ini demikian kerana intepretasi ibadat itu sendiri yang dibina dengan asas yang kukuh iaitu taat dan kasih kepada penciptanya. Ia juga mencakupi skop kehidupan yang sangat luas sehingga menyebabkan keseluruhan perkara kebaikan samada perkara wajib mahupun sunat boleh dikategorikan sebagai ibadat. Roh ibadat boleh dilihat dalam rukun Islam, dalam muamalat harian, akhlak peribadi muslim, dalam pekerjaan, malah berdiam diri sekalipun boleh disuntik dengan roh ibadat.

Sifat ibadat yang meluas dalam segenap perbuatan manusia boleh memberi kesan yang sangat mendalam dalam diri seseorang jika dihayati sepenuhnya. Antaranya termasuklah:
1. Membentuk cara hidup yang berasaskan acuan ketuhanan. Ini menjadikannya sentiasa patuh dan tunduk kepada segala perintah Allah (s.w.t.) dan meninggalkan larangannya.
2. Menjadikannya seorang yang sentiasa bertindak untuk mencapai matlamat yang satu. Ertinya, setiap yang dilakukan akan sentiasa menuju matlamat yang satu iaitu mencapai keredhaan Allah (s.w.t.) semata-mata.

 

2 comments

  1. Assalamualaikum...tambah satu lagi rukun yang mendasari agama Islam iaitu rukun Ihsan.

    ReplyDelete
  2. as salam my dear,

    ya, ini adalah betul....

    ReplyDelete

Error 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage