Skip to main content

Fatwa Hukum Agihan Zakat Dalam Bentuk Manfaat Dan Sumber Pembiayaan Pengurusannya


Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 65 No. 3, Bertarikh: 2hb Februari 2012

ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003

FATWA DI BAWAH SESKYEN 47

HUKUM AGIHAN ZAKAT DALAM BENTUK MANFAAT DAN SUMBER PEMBIAYAAN PENGURUSANNYA

1. Dana zakat harus diagihkan kepada mana-mana asnaf dalam bentuk agihan secara manfaat.

2. Kos pengurusan agihan zakat secara manfaat seperti kos keperluan pentadbiran dan pengurusan, sumber manusia dan keperluan peralatan asasi yang munasabah boleh dibiayai melalui dana zakat.

3. Sumber pembiayaan kos-kos agihan zakat secara manfaat hendaklah diambil berdasarkan kepada dana asnaf tersebut diagihkan.
Sebagai contoh:
(i) Pembinaan asrama anak yatim Baitul Hasanah yang dibina untuk manfaat anak anak yatim fakir miskin dengan menggunakan dana asnaf fakir dan miskin.
Segala kos pengurusan operasi, pembelian peralatan keperluan asas, pembayaran emolumen kakitangan, emolumen tenaga pengajar dan segala keperluan asas asrama tersebut adalah dibiayai menggunakan dana asnaf fakir dan miskin.
(ii) Pembinaan pusat pelindungan Baitul Iman dan Baitul Ehsan yang dibina dan dibiayai melalui dana asnaf Al-Riqab.
Segala kos pengurusan operasi, pembelian peralatan keperluan asas, pembayaran emolumen kakitangan, emolumen tenaga pengajar dan segala keperluan asas pusat perlindungan tersebut adalah dibiayai menggunakan dana asnaf Al-Riqab.
(iii) Pewujudan Bahagian Pembangunan Insan majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menguruskan hal ehwal dan kebajikan asnaf mualaf.
Segala kos pengurusan operasi, pembelian peralatan keperluan asas, pembayaran emolumen kakitangan, emolumen tenaga pengajar kelas-kelas dan kursus mualaf dan segala keperluan asas bahagian tersebut adalah dibiayai menggunakan dana asnaf mualaf.

Bertarikh 2 Februari 2012

[MAIS/SU/BUU/02/016/171; P.U. Sel. AGM. 0007 Jld. 3]

Sumber: Laman Mufti Selangor



Download: Fatwa Agihan Zakat Dalam Bentuk Manfaat

Comments