Tazkirah Awal Ramadhan 1431H - Setengah Kena Bagi Balik

Main Posts Background Image

Main Posts Background Image

Thursday 12 August 2010

Tazkirah Awal Ramadhan 1431H - Setengah Kena Bagi Balik



Alhamdulillah, masih sempat lagi jiwa ini berenak-enak dalam damai bayu Ramadhan 1431H. Selepas 11 purnama meninggalkan Ramadhan yang lalu, tidak pasti, apakah tarbiyah Ramadhan 1430H berbekas pada akhlak dan budi. Sungguh kerdil manusia di sisi Allah s.w.t. Cakap berdegar-degar, tetapi aplikasinya tidak seberapa.

Setiap kali Ramadhan bermula, maka kita diingatkan bahawa Ramadhan ialah satu madrasah. Satu sekolah. Sekolah untuk mendidik manusia menghayati tauhid kepada Allah s.w.t.. Sekolah untuk mengawal nafsu pada saat syaitan dirantai. Sekolah untuk membentuk jiwa agar sentiasa dekat dan rindu Tuhan pencipta. Sekolah untuk memfokuskan setiap tingkah laku supaya diiktiraf sebagai satu ibadat kepada Allah s.w.t.

Ramadhan ini, berhentilah tanam keazaman yang baru!

Ya, berhenti tanam azam yang baru. Untuk apa bina keazaman yang baru jika sekolah Ramadhan yang lama pun ibarat sekolah swasta yang mahal yang ada guru, ada buku, ada undang-undang, tetapi pelajar-pelajarnya berlagak dan sombong pada pentadbiran sekolah? Oh, kitakah pelajar-pelajar itu?

Sekolah Ramadhan lalu, ada gurunya iaitu Allah s.w.t. yang menyiapkan untuk kita akidah dan syariat terluhur, ada bukunya iaitu al-Quran yang sarat dengan panduan dan pengkisahan yang penuh iktibar, serta ada undang-undangnya iaitu syariat yang terbentuk daripada sumber primer dan sekunder. Ia satu pakej lengkap! Tinggal kita yang setiap nama kita didaftarkan secara rasmi sebagai pelajar-pelajar sekolah Ramadhan... Ada kalanya kita culas, malas, ketegaq, mengelat, mengulaq dan bosan dengan syariat terindah itu.



Mahu menyalahkan syaitan yang telah menghasut kita? Oh! Syaitan telah digari... dirantai... tak boleh nak hasut-hasut manusia lagi. Nak bisik-bisik kat telinga atau nak hantar sms dah tak boleh. Maka salah siapa? Hmm... fikir... fikir.... fikir lagi untuk mencari helah daripada dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t. tentang segala kesilapan yang telah dilakukan sedangkan di 'tapak perhimpunan'  nanti, lidah akan menjadi kelu tidak mampu berbicara lagi. Hanya anggota badan sahaja yang akan menjalankan tugas memberikan pengakuan atas segala yang pernah dilaku.

Sekolah Ramadhan lalu... telah berlalu. Tidak akan kembali. Sebelas purnama yang berlalu selepas itu, banyak kepincangan dan kekurangan yang kita lakukan. Sebelas purnama itu tidak akan kembali lagi. Kini sekolah Ramadhan yang baru yang punya guru, buku dan undang-undang yang sama datang lagi. Mungkinkah azam semasa belajar di sekolah yang lalu akan mekar kembali dan direalisasikan dengan bersungguh-sungguh?

Setengah Kena Bagi Balik

Berulang-ulang kali saya membaca kisah jutawan Malaysia, Syeikh Bukhari. Bukan terkasima dengan jumlah harta yang dimilikinya, tetapi betapa taatnya Syeikh kepada bondanya dan sehingga kini berpegang kepada pesan bonda bahawa 'Setengah Kena Bagi Balik'. Kisah yang dimuatkan dalam Majalah Aniqah itu saya ulang baca berkali-kali. Bondanya berpesan, setiap keuntungan yang diperolehi dalam perniagaan, setengah daripada keuntungan tersebut hendaklah disedekahkan kepada orang susah.

Teringat azam Ramadhan lalu, mahu bersedekah banyak-banyak. Tapi, apabila Ramadhan berakhir, tidak seberapa pun sedekah yang dikeluarkan. Sebelas purnama kemudian, hmmph... lagi lah liat mahu bersedekah sedangkan dunia sekarang sudah online segala-gala. Kalau nak sedekah, ambil nombor akaun, transfer online sahaja!

Mampukah kita bagi balik, bukan setengah, bukan suku... tapi secebis dari harta yang ada secara istiqamah setiap Ramadhan dan 11 purnama berikutnya? Allahumma a'inna....

1 comment

  1. salam Dr...jemput sedara mara, anak2 sertai 3R, remaj rai ramadhan, anjuran KElab Remaja JIM, PulauPinang....:)

    ReplyDelete

Error 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage