Skip to main content

Memahami Isu Harta Sepencarian - Intro



Sudah lama tidak menulis secara kritis. Asyik menulis secara 'popular' hingga rentak blog ini berubah irama. Berikut ialah sedikit intro mengenai isu harta sepencarian yang sudah di peringkat akhir kajian melalui Geran FRGS. Intro ini ada saya masukkan dalam kertas kerja yang akan dibentangkan tidak lama lagi dalam Seminar Pengurusan Harta di UKM. (Namun dalam tulisan berikut, nota rujukan telah saya buang)

Jika anda juga membuat kajian berkaitan harta sepencarian dan memerlukan maklumat, boleh lihat blog info harta sepencarian yang dibangunkan di http://www.drhasanah.com/hs . Namun, blog ini saya letak password atas sebab-sebab tertentu. Jika anda mahukan password tersebut, sila emel saya.

Memahami Isu Harta Sepencarian: Intro

Sistem kekeluargaan Islam mengiktiraf hak dan tanggungjawab setiap individu dalam institusi tersebut termasuklah aspek nafkah. Dalam konteks semasa di Malaysia, urusan mencari nafkah pada umumnya telah dipikul oleh kedua-dua pasangan suami isteri dan mendatangkan aset dalam benetuk harta sepencarian.

Walaupun terdapat undang-undang mengenai harta sepencarian, namun, dari sudut pembahagian harta sepencarian tersebut, undang-undang tidak dapat memberikan penjelasan sebaiknya. Malah, terdapat berbagai-bagai pandangan yang dikemukakan di Malaysia seperti di Johor, Terengganu, Selangor dan Perak yang membahagikan harta  sama ada mengikut adat setempat atau secara sama rata manakala di Kedah penilaian adalah berdasarkan tahap kerja seorang pembantu yang diupah. Menariknya, dalam kes Rokiah lwn. Mohd. Idris (1989) pihak isteri berjaya mendapat satu pertiga daripada rumah, tanah dan pelaburan suaminya walaupun dia tidak memberikan sumbangan langsung untuk mendapatkan harta tersebut. Dalam perbincangan berikut, isu harta sepencarian di Malaysia dibincangkan dengan melihat kepada kes-kes di dalam Jurnal Hukum antara tahun 2000-2009.

Mukadimah

Isu harta sepencarian merupakan suatu masalah yang agak baru dalam perundangan Islam di Malaysia. Dalam masa yang sama, ia juga agak sukar dan rumit untuk diselesaikan oleh mana-mana Mahkamah Syariah. Isu pembahagian harta sepencarian ini selalunya timbul sekiranya perkahwinan terpaksa melalui proses poligami ataupun berakhir dengan perceraian mahupun kematian suami.

Dalam kes kematian sebagai contoh, keluarga si mati yang sebahagiannya merupakan waris ashab al-furudh  akan menuntut supaya keseluruhan harta yang ditinggalkan adalah harta pusaka. Pihak isteri pula akan cuba menafikan bahawa semua harta suami boleh dianggap harta pusaka kerana terdapat sumbangan tertentu yang pernah diberikan oleh pihak isteri dalam memperoleh harta tersebut.

Pemahaman tentang konsep sebenar harta sepencarian adalah sangat penting untuk difahami dan diketahui oleh umat Islam. Hal ini kerana, isu harta sepencarian ini sangat penting dan berguna sebagai panduan dan rujukan umat Islam. Oleh itu, kertas kerja ini akan membincangkan isu harta sepencarian dengan fokus utamanya ialah isu kaedah pembahagian harta sepencarian di Malaysia memandangkan aspek pembahagian sering menjadi fokus utama dalam tuntutan harta sepencarian tetapi malangnya ia juga sering mendukacitakan sebelah pihak sama ada pihak defendan mahupun plaintif.

Isu Definisi Harta Sepencarian

Isu harta sepencarian bermula daripada pemahaman tentang definisi harta sepencarian itu sendiri. Menurut Kamus Dewan, harta sepencarian ditakrifkan sebagai harta yang diperoleh daripada usaha suami isteri.  Ia juga didefinisikan sebagai pendapatan atau harta yang didapati daripada usaha bersama antara suami isteri termasuk pendapatan yang didapati daripada modal antara suami isteri.  Selain itu, ia juga ditakrifkan sebagai harta yang dikumpulkan hasil usahasama antara suami dan isteri sepanjang mereka mendirikan rumahtangga.

Harta sepencarian merupakan harta samada harta alih atau harta tak alih yang diperolehi dalam masa perkahwinan di antara suami dan isteri hasil dari sumber-sumber atau usaha mereka bersama.  Dalam Jurnal Hukum, harta sepencarian ditakrifkan sebagai harta yang diperolehi semasa suami dan isteri itu hidup dalam berumahtangga dan berusaha samada kedua-dua pasangan itu bekerja dalam bidang berlainan samada secara rasmi atau tidak dan dibahagikan tugas atau tidak.

Dalam budaya Melayu, perkataan harta sepencarian dikenali dengan istilah yang agak berbeza. Ia dikenali sebagai carian laki bini di Negeri Sembilan, pencarian di Sarawak, pencurian bagi orang Melanau di Sarawak, gona-gini di Jawa, hareuta sihareukat di Acheh, harta suarang di Minangkabau, guna-kaya di Sunda, druwe bagro di Bali dan barang perpantangan di Kalimantan.  Di Tanah Melayu adakalanya harta sepencarian dikenali sebagai harta syarikat  manakala istilah harta usahasama terkenal dalam kalangan masyarakat Terengganu.

Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia pula secara umumnya mendefinisikan harta sepencarian sebagai harta yang diperolehi bersama semasa perkahwinan melalui usaha bersama kedua-dua suami dan isteri. 

Di dalam literatur tentang harta sepencarian, terdapat banyak definisi harta sepencarian yang telah dikemukakan oleh para sarjana dan hakim. Walaupun berbeza dari sudut huraiannya, namun semua definisi itu merujuk kepada maksud yang sama. Berdasarkan analisa terhadap semua definisi yang telah dikemukakan dalam penulisan sebelum ini, maka harta sepencarian ialah bermaksud ‘satu harta sama ada alih atau tidak alih yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri hasil daripada usaha dan sumbangan bersama dalam masa perkahwinan mereka masih berjalan dan berkuatkuasa. Harta itu juga termasuklah harta yang diperolehi sebelum mereka berkahwin atau diperolehi dalam tempoh perkahwinan tetapi bukan hasil usaha bersama (seperti harta pusaka dan hibah) tetapi telah dapat dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan hasil usaha bersama atau sumbangan bersama.’    

Definisi di atas kelihatannya dapat menjelaskan maksud harta sepencarian. Namun hakikatnya ia menimbulkan kekeliruan tentang beberapa perkara seperti kedudukan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan wang potongan gaji yang disimpan secara tetap dan berpanjangan di dalam bank.

Dalam kes Masiran lwn. Azizah (2001) sebagai contoh, mahkamah telah membahagi harta yang dituntut secara sama-rata antara plaintif dan defendan walaupun defendan adalah suri rumah sepenuh masa kerana menilai sumbangan plaintif dalam kerja-kerja rumah dan pengasuhan anak-anak. Hakim telah memetik Kitab Majmu’ yang menjelaskan bahawa tugas tersebut bukanlah tugas seorang isteri.

Timbul juga persoalan mengenai bagaimanakah cara hendak mengenalpasti item-item yang menjadi hakmilik isteri atau suami. Selepas berkongsi hidup selama puluhan tahun, pastinya sukar untuk membuat penilaian yang tepat bagi setiap pemilikan harta serta menilai sumbangan setiap pihak.

Satu isu yang lain pula ialah, bagaimanakah kedudukan wang KWSP yang juga diperolehi oleh suami semasa bekerja dalam tempoh perkahwinan? Bagaimana pula dengan wang simpanan yang ditolak daripada pendapatan yang diterima?

Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2000 pernah menjelaskan bahawa wang KWSP dan wang simpanan ialah harta pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Hal ini menidakkan hak pasangan untuk menuntut bahagian dalam wang KWSP dan wang simpanan sebagai harta sepencarian dan ini bertentangan dengan definisi bahawa wang ini juga merupakan harta yang diperolehi secara usaha sama di antara suami dan isteri di mana si isteri mungkin memberikan sumbangan secara tidak langsung iaitu sebagai suri rumah yang menguruskan keluarga ketika suami keluar bekerja dan membuat caruman KWSP hasil pekerjaan tersebut.

Satu persoalan lagi, jika terdapat hak isteri dalam harta suami yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan, maka apakah terdapat pula hak suami dalam harta isteri yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan memandangkan fenomena wanita berkerjaya sudah menjadi budaya dan ramai pula suami yang sudah bersengseng lengan membantu isteri membuat kerja-kerja rumah dan merasai 'layanan yang berkurangan' daripada isteri lantaran keletihan dengan tugas di luar rumah.

Pembawaan isu ini bukanlah hendak mempertikaikan keputusan fatwa yang telah dikemukakan oleh pihak berautoriti mahupun bersifat feminisme. Sebaliknya, ia bertujuan untuk membuka ruang perbincangan bagi menyelesaikan masalah lompangan dalam pendefnisian bagi membentuk satu definisi yang jami' dan mani' (lengkap dan terbatas) serta membawa keadilan kepada kedua-dua belah pihak iaitu lelaki dan wanita serta para waris yang berkaitan.

Bersambung...

Comments

  1. salam Dr. sy amat2 merindukan pautan ilmu berbentuk ilmiah begini...sedikit menyuburkan .....terima kasih

    semoga Dr. terus mendapat hasanah di dunia dan InsyaALLAh di akhirat....

    ReplyDelete
  2. Saya amat ingin tahu hak suami tentang tuntutan harta sepencarian harta isteri? Saya mengalami situasi ini amat memeritkan kerana ditipu dan dimanupulasikan oleh isteri. semasa membeli, urus tawar menawar, ubahsuai semuanya suami. Bila dah tuntut cerai suami tiada hak tu tiada hak ini nak ikut hukum itu hukum ini. Bila isteri disuruh duduk rumah jaga anak-anak serta makan minum suami, mulalah isteri buka hujah2 cari duit lebih lah, kerajaan suruh kerja menjana pendapatan negara dll. Sekarang harta sepencarian itu ingin dibolot olehnya seorang.

    ReplyDelete
  3. salam puan saya ingin memohon password untuk blog harta sepencarian yang puan bangunkan itu untuk tujuan rujukan saya di mahkamah.kerjasama pihak puan saya dahului dengan ucapan terima kasih. wasalam

    ReplyDelete
  4. ada tak mana2 def. peruntukan undang2 yg mengatakan bhw harta si isteri sblm perkahwinan juga dianggap@ termasuk dlm harta sepencarian? harta alih @ x alih yg dibeli duit hasil titik peluh sendiri bukan diwarisi @ hadiah drp ibubapa or org lain. or cth kes?mcmana dgn kat negeri sabah?tq

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum..puan saya nak bertanya berkaitan harta sepancarian.arwah nenek sy meninggal 6bln lps dan dia tiada anak.waris yang ada adalah datuk saya(suami nenek),seorang adik lelaki dan 2org adik perempuan nenek..soalan sy bagaimana pembahagian harta pusaka tersebut dan hak2 datuk dan adik beradik nenek saya?

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum... puan suami saya telah membeli sebuah rumah sebelum kami berkahwin dan semasa dalam perkahwinan ini saya telah mendapat tanah pusaka dan telah membina rumah di atasnya. Jika suami saya meninggal adakah rumah tersebut boleh dituntut sebagai harta sepencarian dan jika saya meninggal bolehkah suami menuntut tanah pusaka dan rumah di atasnya? Untuk pengetahuan saya tiada anak lelaki hanya 2 org anak perempuan sahaja. Jika bukan harta sepencarian apakah hak yang boleh saya tuntut jika berlaku kematian. sedangkan semasa pembayaran rumah suami dibuat kehidupan agak terjejas juga kerana kekurangan wang untuk perbelanjaan dan sebagainya. tolong jelaskan kepada saya yang kurang faham terima kasih.

    ReplyDelete
  7. Waalaykumussalam nur, ada yang tak jelas di sini. Nenek tak ada anak, jadi, Nur anak siapa? Cucu siapa? Kalau nur ialah anak perempuan dari anak lelaki nenek, maka nur juga boleh mewarisi malah boleh dapat lebih banyak dari adik-beradik nenek.

    ReplyDelete
  8. Waalaykumussalam, tuntutan harta sepencarian perlu dibuat di mahkamah kerana segala perkara akan diselidiki. Saya tidak boleh memberikan pandangan dalam hal ni kerana fakta tidak mencukupi

    ReplyDelete
  9. SARIMAH SHUHAIMI29 June 2012 at 10:35

    boleh kah saya menuntut sebahagian harta sepencarian sebelum semua harta tersebut difaraidhkan. saya nak tuntut separuh dari harta arwah suami saya, kerana untuk menampung perbelanjaan persekolahan keempat anak2 saya.

    ReplyDelete
  10. Tahniah satu blog yang baik untuk perkongsian ilmu. Kalau ada kajian lapangan tentang pengetahuan masyarakat mengenai harta sepencarian mohon dikongsi bersama.

    ReplyDelete
  11. assalamualaikum dr. boleh sy dapatkan password blog info harta sepencarian..sy sedang menyiapkan latihan ilmiah sy berkaitan harta sepencarian...mungkin maklumat dari blog dr boleh membantu sy menyiapkannya...tq

    ReplyDelete
  12. assalamualaikum dr, bolehkah sy dapatkan password blog info harta sepencarian?,,,sy ingin mengetahui lebih lanjut mengenai harta sepencarian ..kemungkinan maklumat drpd blog dr boleh membantu sy memahmi dengn lebih mendalam ttg harta sepencariian

    ReplyDelete
  13. assalamualaikum dr, sy seorg stdnt IPTA ..bolehkah sy dapatkan password blog info harta sepencarian?,,,sy ingin mengetahui lebih lanjut mengenai harta sepencarian ...

    ReplyDelete
  14. bekas mak mertua14 July 2014 at 03:40

    adakah insuran kemalangan yang dibayar pada pesakit lumpuh dikira sebagai harta sepencarian/bukankah wang pampasan itu untuk kegunaan perubatan pesakit seumur hidup/

    ReplyDelete
  15. as salam Dr...saya ada soalan berkenaan harta sepencarian...

    situasi : atas nama arwah si isteri terdapat sebuah apartmen (yg belum diduduki) dan masih berbaki hutangnya...tanpa ada apa2 Deklarasi Harta Sepencarian, si suami berusaha membuat surat dari pesuruhjaya sumpah dan surat lawyer (bertarikh sebelum kematian arwah isteri) bahawa aset tersebut diserah kepadanya dengan niatnya untuk menjual rumah tersebut tanpa pengetahuan anak2...mereka mempunyai 3 anak lelaki dan 4 anak perempuan...

    soalan : jika ada diantara anak2 yang mengetahui niat si bapa (yang sudah beristeri lain), berniat untuk melangsaikan hutang tersebut, adakah selepas segalanya selesai, si bapa masih boleh melaksanakan niatnya itu? dan berapakah bahagian harta sepencarian untuk si suami? terima kasih.

    ReplyDelete
  16. Salam Dr,

    Saya ada kekeliruan tentang harta sepencarian, bagaimana bole saya contact Dr. Hasanah.

    Salan n TQ.

    ReplyDelete
  17. Salam Dr,
    Bilakah sebenarnya tuntutan harta sepencarian boleh dilakukan...adakah selepas kematian atau perceraian, atau pun masih dalam kerukunan rumahtangga lagi.
    Contoh:- Wang KWSP yg telah dikeluarkan bolehkah pasangan menuntutnya?

    ReplyDelete
  18. […] Memahami isu harta sepencarian – intro | drhasanah.com […]

    ReplyDelete
  19. […] Memahami isu harta sepencarian – intro | drhasanah.com […]

    ReplyDelete
  20. Assalam. Selepas kematian Suami adakah saya berhak membuat tuntutan harta sepencarian walaupun deklerasi harta sepencarian tidak dibuat semasa Suami masih hidup

    ReplyDelete
  21. AMALINA BINTI AHMAD HILMI3 June 2016 at 05:31

    salam puan.. saya hendak bertanya.. bolehkah sekiranya kita menuntut insuran sebagai harta sepencarian atas sebab isteri mempunyai anak kecil. dan tidak mempunyai apa2 simpanan. si isteri kematian suami, dan anak2 tiri dr isteri pertama menuntut harta tersebut. mohon penjelasan puan..

    ReplyDelete
  22. Asslmkm dr.. bole dapatkn password yg dr maksudkn tu? Saya nak buat tuntutan nafkah terhadap bks suami sya dan perlu cari info secukupnya..tq dr.

    ReplyDelete
  23. aslamualaikum puan sy ingin tahu tentang harta sepencarian...adakah harta yang ditingalkan dalam keadaan hutang yang masih tertungak hingga menjadi kan pernama muflis boleh dikatakan harta itu harta sepencarian... mak bapak bekas suami minta harta itu dibahagi dua bagaimana saya hekdak bahagi dua sedang masih tertungak berhutang tidak berbayar bagaimana saya nak selesai masaalah ini...tolong jelaskan pada saya...

    ReplyDelete
  24. Rosnani Hussain30 March 2017 at 14:32

    Assalamualaikum dr. boleh sya dapatkan password blog info harta sepencarian..sya sedang menyiapkan latihan ilmiah sya berkaitan harta sepencarian…mungkin maklumat dari blog dr boleh membantu sya dalam menyiapkan tugasan dan sebagai rujukan saya...

    ReplyDelete
  25. Rosnani Hussain30 March 2017 at 15:08

    Assalamualaikum dr. boleh sya dapatkan password blog info harta sepencarian..sya sedang menyiapkan latihan ilmiah sya berkaitan harta sepencarian…mungkin maklumat dari blog dr boleh membantu sya dalam menyiapkan tugasan dan sebagai rujukan saya…

    ReplyDelete
  26. hidayati ismail22 April 2017 at 06:26

    salam dr. jika tidak keberatan, boleh tak dr, share bahan rujukan yang dr tentang harta sepencarian. Sy ingin research tentang harta sepencarian ini.

    ReplyDelete
  27. salam dr. bagaimana saya ingin mendapat password di atas. saya juga sedang menyiapkan latihan ilmiah saya berkaitan harta sepencarian. mungkin serba sedikit maklumat yang diberikan dapat membantu saya sebagai rujukan.

    ReplyDelete

Post a Comment