Skip to main content

Ramadan best kerana ada zakat fitrah


Ibn Abbas telah menyebut (maksudnya):
Rasulullah s.a.w. telah memfardukan zakat fitrah sebagai penyucian terhadap orang yang berpuasa daripada perkara buruk dan tidak berfaedah dan sebagai bantuan kepada fakir miskin. Maka sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang (hari raya), ia adalah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang menunaikannya selepas sembahyang ia adalah sedekah biasa

[hadith riwayat Ibn Majah]

Hari ini berlalulah 17 hari kita berpuasa di bulan yang mulia ini. 17 hari dah berlapar berdahaga... Hmmm... apa rasanya?



Tak tahulah bagaimana orang lain fikir apabila berlapar dan berdahaga. Namun bagi orang yang fakir dan miskin, lapar dahaga di bulan Ramadan sama sahaja dengan lapar dahaga di bulan yang lain.

Di sinilah Allah s.w.t. mahu kita berfikir dan bertadabbur tentang lapar dahaga kita dan lapar dahaga orang-orang yang hidup serba kekurangan. Yang berbuka dengan air kosong, yang bersahur tanpa apa-apa. Yang pakaiannya hanya itu tiada berganti. Yang mahu ke sekolah tetapi tiada apa buat bekal sepanjang hari.

Maka di bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini, bulan yang kita disuruh berlapar dahaga untuk mengenang mereka yang macam-macam tiada.... Allah s.w.t. wajibkan pula kita mengeluarkan sedikit (sikit jeeee) daripada harta yang ada untuk disedekahkan kepada golongan yang memerlukan. Allah Akbar! Indahnya syariat Islam... Selepas kita diuji dengan ujian lapar dahaga, selepas disuruh kita berfikir tentang hikmahnya, maka disuruh pula kita buat sesuatu. Ya lah, lepas berfikir, kenalah bertindak! Bukan sekadar buat kertas kerja, tapi kertas je yang bekerja tanpa ada tindakan... eh, apa melalut ni...

Dalam hadis di atas zakat fitrah dikaitkan juga dengan puasa kita yang serba-serbi cacat. Dari pagi sampai ke petang, macam-macam perkara yang kita buat yang dah mencacatkan ibadah puasa. Tidur sampai ke zohor, mengumpat mengata, mengadu domba, shopping gila-gila untuk raya, tengok tv, astro dan movie tiada hentinya, membazir semasa 'menziarahi' pasar ramadan, serta belasah habis-habisan masa buka puasa. Itu belum dibayangkan apa pula yang berlaku di sebelah malamnya. Puasa kita tidak sampai tahap khusus al-khusus yang digambarkan oleh al-Ghazali dalam Ihya' Ulumuddin. Maka disyariatkan zakat fitrah untuk tampung-tampung mana yang lompong. Tapi, jangan salah tafsir pula. Ia hanya untuk tampung yang lompong sikit-sikit. Kalau dah banyak sangat lompongnya, maka cukup ke ditampung dengan zakat yang hanya RM7 tu? Hmmm... fikir-fikirlah.

Bagi melengkapi zakat, dianjurkan pula kita bersedekah. Sehubungan dengan itu, saya kini sedang siapkan setup ruangan untuk menderma bagi laman web Bait al-Amin. Bait al-Amin merupakan sebuah rumah anak-anak yatim dan miskin yang memberikan khidmat kepada puluhan anak-anak yatim dan miskin. Mereka memerlukan sedekah dari anda. Di bulan Ramadan ini, lapangkanlah hati dan ringankanlah tangan untuk mereka. Kalau kita tak mampu memberikan anak-anak kecil itu kasih sayang dan perhatian, sekurang-kurangnya kita gembirakanlah mereka dengan memberi ruang untuk mereka merasai ni'mat Aidil Fitri dan peluang untuk menuntut ilmu dengan selesa. Sila klik button derma pilihan anda. Jangan risau. Proses ini melalui secure payment system. Lebih baik risaukan jika tidak sempat berbuat kebaikan untuk mereka. Sesungguhnya Allah jualah yang terbaik sekali dalam memberikan ganjaran kepada anda.






Ramadan bukan sahaja best kerana ada zakat fitrah.
Ramadan lebih best lagi sebab ada zakat fitrah dan sedekah... yang pahalanya digandakan di bulan ini...

Comments

  1. punyalah senang nak buat kebajikan,bantu2lah mereka.

    ReplyDelete
  2. Eh, tapai ada anak murid? Tidak kusangka. Cikgu ka ni? Hmm.. nasir, kadang-kadang kesian kat anak yatim. Bulan Ramadan je datang rezeki melimpah ruah, tapi lepas tu, ke manakah derwaman semua?

    Hmm... weekend ni ada PMI USM buat program anak yatim. Ustazah2 KAFA cakap kat anak saya, "kamu anak yatim, wajib hadir" Saya tanya kat anak saya, "Hanan, Husna sedih ke jadi anak yatim?" Depa jawab, sedih la... takde ayah... isk..isk...

    Sabarlah anak-anak mak semua. Ingat pesan mak ni...

    BILA ALLAH PANGGIL AYAH PERGI, ALLAH NAK ANGKAT DARJAT ANAK-ANAK MAK KE SATU DARJAT YANG LEBIH MULIA IAITU SEBAGAI ANAK YATIM. BERSYUKURLAH... LAGIPUN, MAK MASIH ADA...

    mmm... kalau mak dah takde (???) Ya Allah.... kepada-Mu kuserahkan segala-galanya...

    ReplyDelete
  3. Salam..Kak Hasanah, terima kasih entry Kak Hasanah tu yang banyak membantu kami anak-anak di Bait Al-Amin. Terus terang saya katakan berada dalam kehidupan bersama anak-anak yatim seperti berada di dalam syurga dunia.Walaupun terlalu banyak cabaran yang harus ditempuhi namun disitu ada ketenangan dan kedamaian yang menggamit diri..adakalanya sukar untuk diceritakan.Dalam 50 orang yang bersama saya ada 10 orang anak yatim-piatu..yang paling kecil tu berumur 6
    th..adik Aida. Setiap kali melihat wajahnya..begitu sayu sekali..hari-hari yang dilalui tanpa ayah dan ibu tercinta. Namun mereka tabah melalui hari-hari kehidupan di Teratak Bait Al-Amin.

    " Ya Allah...Bertapa Ramadhan Kali ni menjadikan aku begitu lebih akrab buat anak2 Bait Al-Amin..mungkin kerinduan mereka buat ayah dan ibu...Ya Allah berikanlah aku kekuatan dan semangat untuk mendidik anak-anak ini..."

    ReplyDelete

Post a Comment