Corat-coret SEMLIS

Main Posts Background Image

Main Posts Background Image

Thursday 30 October 2008

Corat-coret SEMLIS



Hari ini hari kedua seminar. Baru rasa macam lapang dada sedikit kerana sebentar lagi seminar akan berakhir. Lagipun slot pembentangan kertas kerja saya telah pun berakhir pagi tadi.
Syukur...

Semalam ucap utama yang disampaikan oleh Datuk Mufti Pulau Pinang iaitu Sahibussahamahah Dato' Haji Hassan Haji Ahmad dan juga pembentangan oleh Pengarah, Bahagian Penyelidikan, JAKIM sangat menarik tetapi sayang sekali kerana saya tidak dapat menghayati ucapan yang disampaikan kerana sambil mendengar saya perlu menguruskan para pembentang dan entah apa-apa tugas yang lain. Maklumlah, seminar baru sahaja bermula. Banyak perkara perlu diuruskan.

Petang kelmarin, saya tersenyum lebar bila ternampak wakil JAKIM, iaitu Ustaz Zarifi kerana dia datang jauh-jauh dari Putrajaya membawa selambak prosiding dalam kereta. Itulah yang saya tuggu-tunggukan. Cemas juga kerana bimbang kalau prosiding tak sampai memandangkan seminar sudah hampir bermula. Lebih menggembirakan kerana beberapa lagi kakitangan JAKIM turut hadir sebagai AJK bagi membantu tugas-tugas kami yang nampaknya dah tak menang tangan kami menguruskannya.

Saya membelek-belek prosiding yang berwarna hijau muda (hijau pucuk pisang) yang menjadi warna tema seminar. Alhamdulillah, reaksi spontan ialah senyum.... tengok prosiding kemas dan cantik. Terima kasih kepada Dr Suhaila yang telah banyak membantu saya memastikan 'kekemasan' prosiding. Begitu juga untuk En Meor yang telah design cover yang cantik.

Belek-belek lagi... Dahi saya mula berkerut. Saya terus selak halaman demi halaman. Ahh... kenapa macam ni? Saya mula cuak.


Kenapa header jadi macam ini? Teringat hari tu saya sampai tak tidur satu malam (bulan puasa pula tu) untuk buat heading yang kemas dan eksklusif bagi setiap artikel. Saya cari Dr Suhaila, dia kata dia tak ubah pun header yang saya buat tempohari. Saya cari Ustaz Zarifi. Dia pun terkejut. Dia kata, dia tak usik pun fail yang saya hantar hari tu, malah terus dimajukan kepada pencetak. Semua kata yang diorang tak berani pun usik header yang saya buat. Cemas saya. Rasa macam tidak percaya. Saya semak semula rekod fail yang saya hantar. Betul! Tiada masalah. Tetapi kenapa header dalam prosiding yang telah dicetak berbeza dengan apa yang saya hantar dan ada beberapa kesalahan pula. Saya berbincang lagi dengan Ustaz Zarifi. Dia pun hairan. Mungkin perubahan dibuat oleh pencetak. Hairan kami. Entahlah, mungkin kesalahan daripada saya kerana tidak tahu jika untuk percetakan, header ada setting tertentu yang saya tidak tahu (???). Ahh...

Tolak tepi soal header. Masalah kecil. Apa-apa hal pun, saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak JAKIM yang telah menaja percetakan prosiding dan bersusah-payah memastikan prosiding sampai ke dewan seminar seperti yang dirancangkan. Terima kasih juga kepada Percetakan Nasional Malaysia Berhad yang telah berusaha mencetak prosiding ini dengan kadar segera.

Dalam seminar ini ramai ahli akademik yang telah hadir terutamanya untuk membentangkan kertas kerja. Seronok bila berada dalam lautan ilmuwan. Terasa diri ini sangat kerdil. Banyak pengalaman dan manfaat yang telah saya perolehi. Memang rugilah siapa yang tidak berani melabur RM100 (yuran seminar untuk pelajar dan orang awam) untuk mengutip butiran mutiara ilmu. Lagipun, dengan yuran sebanyak itu, peserta akan dapat kit seminar iaitu beg berwarna hitam yang berat juga untuk diusung ke sana-sini sebab ia mengandungi prosiding setebal hampir 400 mukasurat, beberapa kertas kerja loose, majalah dari JAKIM dan juga beberapa buku lain. Makan pun sedap. Tiga kali makan. Boleh tambah kalau nak. Buat macam rumah sendiri!

Saya dan urusetia seminar mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya kepada pihak JAKIM atas penganjuran bersama dalam seminar ini. Begitu juga untuk Bahagian Pembangunan Lestari dan Korporat, USM atas kerjasama. Terima kasih untuk semua pembentang kertas kerja yang telah datang dari seluruh Malaysia untuk berkongsi ilmu, rasa dan cita. Semoga pertemuan ini akan menghasilkan lebih banyak perkongsian dan penyebaran ilmu di masa hadapan. Jangan serik datang ke Pulau Mutiara ini. Tak jauh pun kan... Sebelum balik jangan lupa beli jeruk dan buah pala Pulau Pinang sebagai buah tangan! Ok, atas semua kekurangan, maafkanlah kami... manusia biasa yang tidak terdaya mengelak dari melakukan kesalahan.... sob! sob!...

Kepada semua pihak yang telah berhabis masa, tenaga dan RM untuk memastikan kejayaan seminar ini terutamanya ahli Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, kakitangan pejabat am PPIK dan sesiapa sahaja... terima kasih daun keladi, lain kali sanggup tak berhempas pulas lagi?

Seterusnya, dalam entri ini saya nak ketengahkan perbincangan dalam sesi pembentangan saya.

Empat kertas kerja mengenai zakat telah memeriahkan diskusi seawal 8.40 pagi. Tajuk & nama pembentang ialah:

Penetapan Uruf Emas Pakai Negeri Pahang 2008: Kajian Menyeluruh bagi Memantapkan Perlaksanaan Hukum Fiqh Semasa
Tuan Haji Halidan bin Daud, AMP, (Pengurus Besar, Pusat Kutipan Zakat, Pahang), Felza Zulrrafaaee bin Abd Hamid, (Pegawai Dakwah dan Penyelidikan, Pusat Kutipan Zakat Pahang), Dr. Muhammad Nubli Abdul Wahab & Mohd Ghani Awang
(Jabatan Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang)

Melestari Sistem Jaminan Sosial Islam Melalui Zakat
Dr Hasanah Abd Khafidz
(Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia)

Kelestarian Fiqh dalam Perakaunan Zakat Korporat di Malaysia
Dr Zahri Hamat & Zakaria Bahari
(Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia)

Cabaran Fiqh Zakat dan Pemikiran Islam Semasa dalam Perkembangan Institusi Zakat di Malaysia
Azman Ab Rahman
(Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia)

Seronok mendengar pembentangan laporan kajian yang dilakukan oleh Tuan Haji Halidan. Kertas kerja beliau membincangkan hasil kajian yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik dari Pusat Kutipan Zakat untuk mengenalpasti 'berapakah kadar uruf emas semasa di Pahang'. Untuk makluman, uruf emas pakai semasa di negeri-negeri di Malaysia adalah berbeza-beza. Di kebanyakan negeri kadarnya ialah 85g. Walau bagaimanapun, di Kelantan tiada kadar uruf ditetapkan- mungkin kerana orang Kelantan sangat kaya dengan emas(???). Manakala di Johor dan Negeri Sembilan pula angkanya sangat hebat iaitu 850g!!! (Betulkan saya jika saya tersilap ye Tuan Haji) Bayangkan kalau harga emas RM100 segram didarab dengan 850. Berapakah jumlahnya? Kayanya...

Dalam kajian tersebut, beberapa penyelidik turun padang ke kawasan kampung, bandar dan Felda. Mereka pergi berjumpa makcik-makcik di kampung-kampung dan juga kakitangan wanita di bandar-bandar. Setiap wanita diminta untuk menimbang berapakah kadar emas yang mereka pakai. Makcik-makcik dan cik kak itu pun 'melucutkan' segala emas yang ada serta keluarkan gelang rantai yang disimpan untuk ditimbang. Antara hasil kajian ialah lebih 30% wanita mempunyai emas di melebihi 85 gram, iaitu kadar uruf emas pakai (nisab) semasa di Malaysia. Yang menariknya ialah jumlah wanita yang mempunyai emas melebihi nisab di kawasan Felda didapati melebihi jumlah wanita yang tinggal di bandar-bandar. Terfikir saya kenapa agaknya. Mungkin sebabnya orang Felda lebih kaya dari orang bandar, atau sebab wanita Felda tak ada buku akaun bank, atau sebab orang kampung menjadikan emas di tangan dan leher itu sebagai simbol kekayaan... semuanya mungkin.

"Berapa banyak emas yang dr. pakai?" Tanya Tuan Haji Halidan sambil memandang ke arah saya.
"No comment!" Pendek sahaja jawapan saya sambil tersengih-sengih. Saya bukan Mami Jarum!

Kertas kerja saya menyentuh tentang melestarikan sistem jaminan sosial semasa menerusi zakat. Tak tahu apa yang dicatatkan di sini sebab ia perkara biasa sahaja bagi saya. Hanya saya ingin mengenengahkan saranan saya agar lebih banyak usaha dilakukan agar sistem pengurusan zakat dapat ditingkatkan mutunya, dilakukan penelitian ke atas pentafsiran asnaf zakat agar sesuai dengan matlamat zakat yang bertujuan untuk memberikan jaminan sosial (tesis PhD saya membahaskan perkara ini), sumber zakat dikembang luaskan mencakupi sumber pendapatan semasa antaranya ialah sewaan termasuklah sewaan berbentuk online seperti hosting, webspace, online advertisement dll, serta menyelaraskan undang-undang zakat dalam negeri-negeri di Malaysia.

Dr. Zahri pula membentangkan kertas kerja mengenai bidang yang saya minati iaitu Perakaunan Zakat. Teringat saya, semasa di Sekolah Menengah Agama Persekutuan dahulu, subjek Prinsip Perakaunan ialah subjek yang paling saya minati. Kertas kerja Dr. Zahri menghuraikan beberapa bentuk sistem pengiraan yang digunakan dalam sistem perakaunan zakat di Malaysia. Antaranya, zakat ke atas modal kerja, zakat ke atas aset semasa, zakat ke atas modal berkembang, zakat ke atas keuntungan bersih dan lain-lain lagi.

Dalam kertas kerja tersebut, Dr Zahri membentangkan kajian penerokaan yang telah dilakukan mengenai amalan perakaunan zakat korporat di Malaysia. Berdasarkan kajian yang dilakukan, beberapa negeri mengamalkan kaedah zakat ke atas aset semasa iaitu negeri Kedah, Johor dan Kelantan.

Terdapat negeri yang mengamalkan kaedah zakat ke atas modal kerja terselaras iaitu negeri-negeri selain daripada yang disebutkan tadi. Perlis sahaja yang memakai zakat ke atas modal kerja. Apa dia modal kerja terselaras? Hihi... saya pun tak faham. Dulu masa belajar di SMAPK tak belajar perkara ini.

Memetik kesimpulan yang dicatatkan di akhir kertas kerja beliau disebutkan bahawa kaedah modal kerja dibentuk bukanberdasarkan nas yang qat'i. Oleh yang demikian, perubahan terhadap kaedah perakaunan zakat korporat boleh juga dilaksanakan. Malah para cendekiawan zakt di malaysia berpandangan bahawa zakat korporat boleh diqiyaskan kepada zakat pertanian. Kaedah untuk mendapatkan pendapatan boleh digunakan sebagai illah. Di Malaysia antara jenis pendapatan yang boleh diqiyaskan kepada zakat pertanian ialah pendapatan daripada sektor perkilangan, sektor pertanian dan sektor perlombongan.

Pembentang terakhir dalam sesi ini ialah En. Azman Ab Rahman, Pensyarah USIM dengan kertas kerja tentang Cabaran Fiqh Zakat dan Pemikiran Islam Semasa dalam Perkembangan Institusi Zakat di Malaysia. Beberapa cabaran fiqh zakat semasa telah dinyatakan. Antaranya ialah: pengkorporatan institusi zakat, kaedah pembayaran masa kini, mekanisme agihan zakat, penyelarasan konsep kutipan dan agihan, pemahaman tentang zakat fitrah dan zakat harta serta akta zakat. Selain cabaran tersebut, dinyatakan juga isu-isu semasa berkaitan fiqh zakat seperti isu pelaburan harta zakat, pemindahan harta zakat dan isu pembayaran zakat secara persendirian.

OK, setakat ini dahulu. Kerja banyak. Hidup dengan kerja. Kalau tak kerja, maksudnya, err.... dah tak hidup la...

Maaf zahir batin.

************************

Liputan akhbar tentang SEMLIS
Utusan | Fiqh Islam Rungkai Semua Persoalan

dan lagi:
Utusan | Fatwa yoga akan diumum

dan lagi:
Fatwa yoga akan diumum dalam masa terdekat

dan lagi, hihi…
Utusan | Dr Atikullah: Penghayatan Fiqh lestari demi kehidupan harmoni

9 comments

  1. Hj Halidan b Md Daud7 November 2008 at 02:55

    Terima kasih di atas ulasan dan perhatian kepada kertas yang kami bentang. Saya bukan orang akademik, tapi practitioner. Harap ada manfaat dari maklumat tersebut. Membaca komen Dr, rasa tak sia-sialah datang dari jauh. Nampknya memang Dr mendengar apa yang dibentang.
    Cuma saya nak minta tolong sikit. Saya juga berminat dgn pembentangan oleh Dr Zahari, jadi kalau boleh, Dr tolong dapatkan presentation tu dan e mel kpd saya. Sebenarnya saya dah minta kebenaran drpd Dr Zahari masa sembang sambil minum pagi tu. Tapi lepas tu saya terus balik sebab ada urusan.
    Apa pun, saya dahului dengan ucapan terima kasih.
    Jazakallah

    HMD,
    PKZ Pahang

    ReplyDelete
  2. beli baju warna merah
    seronok naik kereta waja
    dr. hasanah janganlah marah
    nasi kandaq tanya ja

    huhuhu

    ReplyDelete
  3. hmm..memang rugi..rm 100 ja..ruginya sy..rugi x bentang tentang isu remaja kan???hmmmmm...

    ReplyDelete
  4. tepuk amai-amai
    belalang kupu-kupu
    nasi kandaq berwaja merah terima kasih mai
    marah? hmm, sikit pun tiada di kalbu

    ReplyDelete
  5. Cik adik Naseebah, kenapa la paper SAM tak sampai? Kami nak dengar orang alam sekitar bercakap :)

    ReplyDelete
  6. Tuan Hj Halidan,
    Amboi merendah diri betul. Saya respect tuan hj sebagai seorang yang sangat banyak pengalaman. Practitioner lebih banyak pengalaman bernilai berbanding academician. Ibarat Ronaldinio, dia lebih terer sebenarnya berbanding coach yang terpekik-pekik di tepi padang. Eh, apa ni...

    Tentang Dr Zahri, saya dah emel dia, Insya Allah ppt yang diminta akan sampai tak lama lagi.

    ReplyDelete
  7. salam

    bagaimana saya boleh membeli prosiding seminar tu?
    harga berapa?
    terima kasih

    ReplyDelete
  8. Macam biasa kulihat nama ini, tapi di mana ya?

    Prosiding tu kosnya RM125.

    Yuran keahlian sebagai peserta biasa dalam seminar kami pula hanya RM100 + kit seminar + beg hitam ala james bond + buku & majalah sumbangan JAKIM dll termasuk sijil penyertaan.

    Kalau anda sangat cerdik dan ada RM125, adakah anda akan habiskan RM125 tu untuk satu prosiding? Hanya satu prosding? Ya! Prosiding tu je... Takde yang lain-lain? Tak ada duit lebih untuk belanja kawan-kawan makan pizza hut? Err, tak boleh pekena roti canai kat Khaleel? Takde bla... blaa.....

    ReplyDelete
  9. salam Dr..

    huhu..bru terbaca post Dr yg ni..bru nmpk idea tuk paham kaitan lestari ngan fiqh & zakat..tq Dr..

    salam jihad,
    nur_comOt

    ReplyDelete

Error 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage