Skip to main content

Permata baru

[gallery]
Berbicara tentang pengalaman, terlupa untuk mencatatkan tentang kelahiran seorang puteri pada 31 Januari 2008.Pengalaman melahirkan anak tanpa suami tercinta tak mungkin dapat dilupakan...

Saat-saat menanti hari untuk bersalin sangat mendebarkan dan menggusar perasaan. Sudahlah kandungan dirasakan lebih besar dari selalu, suami pula tiada untuk membantu secara moral dan fizikal sementelahan anak yang empat orang masih kecil dan sentiasa meminta dilayan dan diberikan perhatian.

31 Januari 2008
Seperti selalu, tarikh jangkaan bersalin tidak pernah tepat. Selepas 3 hari 'overdue' barulah terasa 'contraction' seawal jam 5.30 pagi. Saya sentiasa memerhatikan jam. Sakit masih jarang-jarang. Sekitar 20 minit sekali. Pengalaman bersalin empat kali sebelum ini membuatkan saya masak benar dengan sakit bersalin. Walaupun terasa sakit, saya masih boleh sambung tidur! Saya tahu, saya perlu cukup rehat untuk bersalin.

Pagi
Jam 7.15 pagi saya menelefon jiran sebelah iaitu Kak Shidah. Respon spontan diberikan. Kak Shidah segera menguruskan anak-anak yang perlu ke sekolah dan juga yang hendak dihantar ke rumah pengasuh. Begitu juga saya. Sebelum ke hospital, banyak urusan yang perlu diselesaikan dahulu. Jam 9 barulah saya dan Kak Shidah bertolak ke hospital. Pertama kali ke hospital untk bersalin bersama jiran, saya banyak mendiamkan diri sahaja. Hanya Kak Shidah yang tak henti-henti bercerita. Mungkin dia cuba mengalihkan perasaan saya.

Hospital Seberang Jaya
Menjejakkan kaki di Hospital Seberang Jaya membuatkan rasa hiba yang cuba dipendam tak dapat disembunyikan lagi. 42 hari lalu, di sinilah suami menghembuskan nafas yang terakhir dan hari ini, saya pula bakal bertarung nyawa demi satu lagi nyawa. Kematian dan kelahiran yang terpaksa ditempuh dalam satu jangka masa yang sangat singkat dan di bawah satu bumbung pula menuntut kesabaran yang sangat tinggi. Beberapa kali saya menyusup ke bilik air dalam dewan bersalin melepaskan perasaan kerana terlalu sedih menghadapi dugaan seberat ini. Allah sahaja yang tahu bagaimana sukarnya keadaan saya ketika itu. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk memberitahu kakitangan dalam dewan bersalin. Terima kasih kepada kakitangan Dewan Bersalin Hospital Seberang Jaya kerana memahami keadaan saya terutamanya seorang staffed nurse Melayu (terlupa namanya) yang memberi semangat kepada saya hinggalah selepas bersalin. Apabila keresahan dan kesedihan dapat diluahkan kepada orang lain, barulah terasa tenang sedikit.

Petang
Seperti biasa, sakit bersalin akan berpanjangan walaupun ini kelahiran kelima. Jam 3 petang barulah saya bersalin dan alhamdulillah, saat yang sangat saya takuti telah pun berlalu. Sepenuh kesyukuran dipanjatkan buat Tuhan yang Maha Berkuasa kerana telah memberikan saya kekuatan untuk menghadapi semua ini. Sepenuh kesyukuran juga buat-Nya kerana telah memudahkan proses bersalin. Rahmat Allah sangat luas. Saya tidak pernah menghadapi kesukaran bersalin dan tidak pernah serik bersalin. Hanya yang pasti, inilah kelahiran bongsu buat saya. Kejutan buat saya apabila nurse memberitahu bahawa puteri yang baru dilahirkan seberat 4.5kg! Riuh dewan bersalin. Seorang demi seorang nurse dan doktor 'menziarahi' puteri comel saya. "Macam teddy bear," kata seorang doktor yang banyak membantu saya sebelum bersalin. Saya tersenyum sahaja. Tiada lagi tangis hiba. Tiada lagi resah dan gundah gulana. Melihat wajah puteri yang saling tak tumpah seperti ayahnya, hati menjadi tenang dan bersemangat untuk memulakan hidup baru. Yang pergi telah pergi, yang lahir dijadikan penawar hati.

Wad 10
Kerana katil dalam wad penuh, saya hanya dipindahkan ke wad biasa jam 7 malam. Anak-anak, sanak saudara dan jiran ramai yang menunggu. Kelahiran sebelum ini tak pernah seramai ini. Selalunya hanya suami yang ada. Kalau selalu suami yang azankan, tapi kini, bapa mertua tolong azankan. Sayu. Tapi, apakan daya. Semasa dipindahkan ke wad 10, saya memandang sepi wad 7 yang terletak berhadapan wad 10 kerana di situlah tercatat kisah perit buat saya.

Dengan GL yang dibawa dari USM, saya diletakkan di bilik 1 katil dan berhawa dingan. Malam itu saya sendirian dengan puteri kesayangan. Syukur kerana saya dapat melalui saat itu dengan tenang.

Memandangkan bayi yang dilahirkan 'terlebih' gebu, maka doktor sentiasa membuat pemeriksaan kerana bimbang tahap glukos dalam darah akan menurun. Selang setiap 3-6 jam darahnya akan diambil untuk diperiksa. Doktor hampir-hampir hendak menahan puteri saya di dalam wad kanak-kanak untuk membuat pemeriksaan lanjut. Namun apabila melihat sejarah kelahiran anak-anak yang lain pun sekitar 4kg semuanya dan ayahnya juga bersaiz 'tinggi dan besar', maka bayi saya dilepaskan. Lega rasanya.

1 Februari 2008
Tiada masalah. Hari ini saya dan puteri dibenarkan pulang ke rumah. Kakak dari Changloon (how to spell?) iaitu Anim datang dan membawa kami pulang ke Taman Bertam Permai, Kepala Batas. Saya pun mula berpantang. Ramai yang menolong. Kakak-kakak yang di Selangor/KL pun ramai yang datang meneman dan membantu saya. Mertua, ipar dan biras tak henti-henti menghulurkan bantuan. Jiran-jiran di Taman Bertam Permai ini pula, beritahu apa sahaja, pasti mereka bantu. Dari menguruskan anak hinggalah membeli sayur dan lauk, semuanya diselesaikan. Tiada kata yang dapat diungkapkan bagi menyampaikan rasa terima kasih saya kepada semua yang telah membantu saya sepanjang tempoh ini. Hanya kepada Allah s.w.t. saya berdoa semoga mereka semua diberikan limpahan rahmat dan ni'mat atas keikhlasan mereka menolong saya sekeluarga.

Terima Kasih

Terima kasih buat nama-nama ini (maaf, tak dapat senaraikan semuanya):

Mak (ibu mertua), Ayah (bapa mertua), Anim, Lelah, Shimah, Kak Shidah (Ustazah Norsidah), Kak Rohaya, Jan, Ton, Kak Aida, Cikgu Amri, Ustaz Norzli, En. Husni, Kak Sarinah (Ina), En. Zainal, Kak Shidah (EPF), Cik, Mak Teh Mahaya, Pak Teh, Titin, Kak Timah, Cikgu Fatimah, Abg. Shukri, Abg. Muz, Abg. Rahim, Liz dan ramai lagi...

Terima kasih juga buat semua yang telah menziarahi kami sekeluarga, yang bertanya khabar, menghantar SMS, berutus emel, bertegur sapa dalam blog dan berkirim salam. Sokongan yang diberikan kepada saya sekeluarga dalam menghadapi saat-saat sukar benar-benar membantu dan sangat kami hargai.

Comments

  1. Assalamualaykum wrt wbt

    semoga ustazah sihat sejahtera.
    boleh saya bertanya, ustazah smap mana yea dulu?
    ana SMAP Labu.

    -firdaus nottingham-

    ReplyDelete
  2. Alaykumussalam Firdaus.

    Terima kasih kerana singgah di sini. Saya cop SMAP Kajang.

    ReplyDelete
  3. Assalamualikum wrt wbt

    terharu+sedih+bangga bila baca pengalaman bersalin Dr.Doa dan harapan moga Dr terus tabah menghadapi cabaran hidup.

    ReplyDelete
  4. Alaykumussalam Anisah,

    Terharu, saya faham kenapa. Sedih, saya juga faham sebabnya. Bangga? Saya jadi tak faham. Apa yang dibanggakan ye?

    ReplyDelete
  5. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk umatnya.....
    semoga Dr menjadi insan yang tabah

    ReplyDelete
  6. Salam Dr.

    Apa khabar? Maaf baru tahu yg Dr. dah dapat cahaya mata. Semoga ianya menjadi penganti dan penghibur duka Dr. kat arwah ustaz Rosdi.

    Maaf saya katakan yang muka puteri Dr. ni cam arwah ustaz Rosdi (gambar yg 2 bulan).

    Untuk hari2 seterusnya, semoga Dr. terus tabah dan dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaiknya sebagai ibu+bapa. Insya Allah.

    Azri skrg dah nak exam akhir ni awal bulan 6. Insya Allah bulan 7 ni habis la Ijazah.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  7. Subhanallah comelnya... semoga Allah memberikan sebaik2 ganjaran kepada puan. Disebalik kesedihan yang mencengkam jiwa, dikurniakan Allah permata hati yang sungguh bersih dan comel.

    ReplyDelete
  8. assalamualaikum...Dr.....terlebih dahulu sy ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas segala curahan ilmu yg diberikan selama saya berada di Usm..walaupun hanya satu paper yg saya ambil iaitu paper prinsip dan perundangan islam pd semester 1 sidang 2007/2008,namun ilmu yang tersebut amatlah berguna untuk saya...tak pernah saya melihat wajah dr yang sedih dan sayu ketika mengajar walhal waktu itu dr ditimpa musibah yang amat besar....masyaAllah........saya tak dapat tahan air mata saya apabila membaca blog dr ini...kalaulah saya berada di tempat dr, mungkin semua semangat saya akan hilang.....tapi dr seorang yang tabah!!!

    ReplyDelete
  9. "…tak pernah saya melihat wajah dr yang sedih dan sayu ketika mengajar "

    mana boleh tunjuk sedih kat student... pantang besar!!! :D

    Sebenarnya, masa semester 1 2007/2008 tu tak perasan pun yang ketumbuhan kanser tu tumbuh balik dan dah besar pun... Entah kenapa la saya tak terfikir pun hal tu padahal saya sedar yang perut dia makin besar walaupun dalam masa yang sama dia sedang diet...

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum..sy rasa msih blm terlambat utk sy mengucapkan selamat berpuasa..
    erm..sedih sgt2 after baca blog ni..da nangis pon..
    ya Allah betapa besarnya ujian Dia, tp sesungguhnya setiap ujian 2 ada hikmah disebalik semua 2..lg pon Allah xkan beri sesuatu ujian yg diluar kemampuan hambaNYA..
    saya doakan moga Dr sentiasa diberkati & dirahmati olehNYA...

    ReplyDelete
  11. ari ni baru terjumpa blog ni, terus terlekat..Maha suci tuhan..Berilah kami kekuatan

    ReplyDelete
  12. Usah menangis romlah. Sebab kalau romlah menangis, saya lagi la nak meraung-raung. Bulan Ramadan ni lagi lah... bulan yang terlalu banyak kenangan dengan arwah suami. Kenangan buka puasa... solat terawih berjemaah... bersahur... Allah Akbar!
    Anak-anak sibuk nak raya, nak beli itu beli ini. Saya? Hmmm... tak beli pun baju raya... takde kasut raya... Pakai je apa yang ada. Hari-hari layan je kehendak dan kerenah anak-anak. Erm, kejap lagi nak bawa semua keluar beli kasut raya. Tak sabar-sabar diorang. Hari tu, bila keluar beli kasut, Ziyad yang baru berumur 6 tahun cakap, "kalau ayah tak meninggal lagi boleh kita beli kasut untuk ayah." Hmm... entahlah.
    Dah dua tahun dia pergi, tapi... kadang-kadang masih seperti tak percaya yang dia dah takde.

    Athirah, selamat datang ke blog ini. Ini tempat lepak saya. Tempat saya buang masa & release tension :)

    ReplyDelete
  13. Assalamualikum Dr. terima ksih wujud kan blog nih...saya juga mengalami kisah yg sama dengan Dr. yang bezanya saya melahirkan anak yg ke 3...dan 3 hari selepas pemergian suami saya...Alhamdulillah..emosi saya sudah semakin stabil..tidak seperti mula2 dulu...minggu depan genap 6 bulan pemergian suami saya..Allahhu Akbar..rasa macam belum cukup kuat utk hadapi semua nih..Dr doakan saya tabah n sabar dalam mendidik anak2 jadi pejuang seperti walid mereka.

    ReplyDelete
  14. Takziah Ummu Khaulah. Tak dapat saya bayangkan bagaimana getirnya Ummu Khaulah hadapi saat bersalin hanya 3 hari lepas kematian suami. Allah Akbar!
    Semoga Allah s.w.t. sentiasa memudahkan kehidupan Ummu Khaulah dan anak-anak selepas ini.
    Sabar banyak2.... Anggaplah ujian ini sebagai ANUGERAH ALLAH!!!

    ReplyDelete
  15. [...] s.w.t. datang menguji hamba-Nya. 42 hari berpantang iddah kematian suami akhirnya terhenti apabila Hajar selamat dilahirkan. Getir yang tidak dapat dilupakan. Mengutip semangat Maryam melahirkan Nabi Isa. Meminjam semangat [...]

    ReplyDelete
  16. salam dr.hasanah,sejak dari first year saya mengkoreksi blog ni,tapi masa tu masih tak kenal dr. Tapi sejak ambl munakahat ni baru,kenal Dr. n mula2 msk klas tu,saya berfikir"Eh..ni ka dr.hasanah tu?" blk klas saya ke makmal komp. n ya,betul dr munakahat tu ialah dr.hasanah.com yg saya baca satu masa dulu..saya kagum dgn ketabahan Dr.tempuh semua dugaan dlm hidup...semoga beroleh pahala yang besar dri Allah,inshaAllah..n saya juga berdoa,smg anak2 Dr. (hanan,husna,ziyad,huda n hajar) menjadi anak2 penyejuk mata dan dpt berbakti kpd agama,bgsa dan negara..inshaAllah..wasalam..

    ReplyDelete
  17. assalamualaikum Dr Hasanah...salam perkenalan, saya pelajar Dr Radiah Yusoff (HMT 329)

    ReplyDelete
  18. [...] yang dilalui. masa mengandungkan balqis dua tahun lepas, saya cukup terkesan dengan cerita Dr Hasanah tentang kelahiran puteri bongsunya di mana beliau harus menghadapi semuanya sendiri kerana suami [...]

    ReplyDelete
  19. Noor Effeliana Muhd Effendi2 February 2010 at 11:19

    Assalamualaikum w.b.t
    Salam perkenalan....
    Saya Noor Effeliana Muhd Effendi, salah seorang daripada pelajar Dr. Radiah Yusoff (HMT 329)

    ReplyDelete
  20. salam,
    saya sangat kagum ngan dr.macam mana saya nk hubungi dr

    ReplyDelete
  21. Salam Dr.,
    Sy dicadangkn rakan utk bce artikel Dr di Iluvislam.com yg tjuk 'sy dah x sggup hidup'.Katenye spya sy xsedih lg.Kmudian ade link ke blog Dr ni. Beratnye ujian yg Dr tggung, smpai sy rse mcm xsggp utk bce post Dr ni smpi hbis..sy akn slalu ingt dan jdikn pglmn Dr ni cnth btape apbile kite rse kte susah atau sedih, ad org lgi sedih dan trime ujian lg bsr dr kite..Mg ank2 Dr trglg d klgn org2 yg soleh n solehah..dan bjye dunia akhrt..kalo sy jd Dr sy xtau sy blh pnya smgt cmtu atau x..

    ReplyDelete
  22. lagi satu..ank Dr comel..=)

    ReplyDelete
  23. siti raziah arshad11 March 2010 at 03:41

    Assalamualaikum Dr Hasanah. Saya pelajar Dr Radiah Yusoff ingin mengungkapkan salam perkenalan. Ketabahan Dr amat mengagumkan setiap wanita.

    ReplyDelete
  24. Assalamualaikum dr.. Sy sngt kagum dengan semangat dr.. sesungguhnya,ALLAH tidak akan memberi ujian yang tak mampu ditanggung oleh hamba-Nya.. sy rasa,sy tak mampu berada ditempat dr.. menanggung beban seberat itu..mungkin belum cukup kuat.. putri dr sngt comel. ^_^. kisah 'saya dah tak sanggup hidup' amat mnyentuh hati sy.. nauzubillah.. minta dijauhkan perkara sebegitu terjadi kepada sy.. terima kasih dr..

    ReplyDelete
  25. salam...

    sy dapat link ke website dr ni melalui website iluvislam...
    ada satu artikel "sy dah tak sanggup hidup"

    setiap org ada masalahnye...dan sy harap, sy pun dapat menjadi tabah seperti dr....

    ReplyDelete
  26. http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2343

    ReplyDelete
  27. assalam..
    dr ape kbr? hrp sht sjahtera dlm lindungan Allah..
    sy sebenarnya tlh mengetahui ksh dr sblum ini..krn saya tggl bhampiran dgn tmn bertam permai..(tmn satu lg..?):)
    sy juga mengenali ustzh norshidah n cikgu ct fatimah krn sy merupakan muridnya di skolh dhulu..

    sy menulis d sini sekadar bkongsi rasa dgn dr..
    sy juga pernah kehilangn org yg paling sy syg iaitu mak n ayah sy..

    betapa sakit dan siksanya jiwa menjadi yatim..
    tp sy tahu ank yatim itu sgt dimuliakan dlm Islam..
    Btapa besar nikmat Allah SWT.

    hmpir 4 tahun blalu..kngan pahit itu tkkan sy lupa kn..
    taktala mencium tangan ibu sblum keluar..sy dpt rskan ada sesuatu yg aneh..
    dprtgahan jln, hati sy 'xsedap' lalu bpatah balik utk menemui ibu..
    malamnya, ibu tlh meninggalkan kami 12 adb bradik saat kami sgt mmrlukan kasihnya..
    selang 46 hari slpas kmatian ibu, ayah pula dijemput Ilahi..
    btapa sedih hati sy n keluarga krn hlg tmpat bgantung utk slama2nya..
    tmpat kmi bkasih syg..tmpat bmanja..
    Ya Allha, cucurilah rahmat ke atas roh kedua ibubapa ku..tmpatkn lah mrk dtmpat orag2 yg soleh..

    maafkn sy andai menulis dsini,,
    ttp sy jg bharap agar dpt mengutip semangat dr sndiri.
    berilah saya nasihat dn dorongan agr hati ini x tws dgn mainan nafsu syaitan..

    Jazakillah dr atas luangan ms mmbca pkongsian ini..

    assalamm..

    ReplyDelete
  28. salam..

    Saya br jer mengenali blog ni, lagi besar rupenya dugaan untuk dr dan fathirah..Saya br jer kehilangan ibu 2 bulan yang lepas.Terasa gelap sangat dunia ni, dan hati saya sedih teramat sangat.Tp bila baca blog ni hope ia akan membantu saya di dalam menjalani hari2 yang bakal dilalui dgn lebih tabah dan setabah anda semua.insya allah.

    ReplyDelete
  29. Fathirah, ibu saya meninggal masa saya baru je 4 bulan belajar di Jordan. Nak balik? Tak sempat dan takde duit sebab JPA lambat bagi duit elaun. Ayah saya pun dah meninggal. Mungkin itu memberi hikmah untuk saya mendidik anak-anak yang tiada kasih sayang seorang ayah kerana saya cuba menyelami apa yang saya rasa ialah apa yang anak-anak rasa. Pastinya apa yang mereka tanggung lebih berat lagi kerana semuanya masih kanak-kanak lagi.

    Naz, ahlan wa sahlan.

    ReplyDelete
  30. salam..dr. Pada 11/01/2010 suami saya telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya.dalam usia baru 26 tahun saya telah ditinggalkan bersama 2 org anak perempuan.Doakan saya kuat seperti dr. untuk menghadapi hari2 yg mendatang..

    ReplyDelete
  31. Dr. Bahsharudin Mohd Sharif31 March 2010 at 16:30

    Ketabahan Dr. Hasanah amat mengkagumkan..semuga Dr, sentiasa dilindungi & diberkati Allah taala....

    ReplyDelete
  32. Kuatkan semangat Hidayah. Awak masih muda, mungkin itulah hikmahnya, kalau dah tua dan masih ada anak yang perlu dibesarkan, pasti lebih susah, kan... yelah, badan pun dah tak kuat untuk berjuang setiap hari untuk anak-anak.
    Dr. Basharudin, saya tak tabah... biasa sahaja...

    ReplyDelete
  33. hospital seberang jaya ambil intern yg tak reti fikir dan ego hinggakan ibu saya meninggal dunia.memang ajal maut ditangan tuhan tapi usaha ena ada.intern tu memang tak layak jadi doktor dia sepatutnya jadi tukang tolak troli je.dah bagi tahu mak saya sakit pun tak reti nak refer kat orang yang lebih pakar hingga ibu saya sudah tidak dapat di selamat kan. pelatih saravanan namanya dan say tak akan panggil dia gelaran doktor tu kerana dia memang tidak layak.tiada maaf buat mamat purrr ni.

    ReplyDelete
  34. Salam, sy kenal dr dari jauh, ssungguhnya dr sorang yang tabah, kuatkan smangat tguhkan iman, Allah sntiasa brsama org yg sabar, sy jga bru khilangan suami thn lps dan sy thu btapa brat jiwa yg menanggung, Allah maha mgetahui segala2nya, Itu yang pasti...

    ReplyDelete
  35. Jasni, takziah. Idah, 'dari jauh'? Bahaya tu. Isk... saya takde apa pun. Biasa sahaja.

    ReplyDelete
  36. Assalamualikum...
    sememangnya kt mengalami kisah yang sama...yang membezakan saya,Dr dan hidayah adalah sy tidak mempunyai zuriat dan kami seusia 28thn...esok sy baru abis menjalani proses iddah...Allah pinjamkan suami sy utk 9bln sahaja...Allahhu Akbar...Semuanya perancangan dari Nya...Biarpun terlalu berat bahu ini mengalasnya namun sy redha pd ketentuNya...Semoga kt menjadi tabah menjalani kehidupan ini....

    ReplyDelete
  37. sy tbaca cerita pendek Dr ustazah nie scr tak sengaja kerana saat2 ini sy mencari dn ingn membaca tips2 ttg mlahirkan anak,memandangkan sy mengandungkn anak pertama y kini masuk 38 minggu..
    wpun sy lgsg tk mgenali ustazah, tp tiba2 airmata sy mengalir mbaca luahan ustazah d atas..bg sy ustazah sgt kuat dan tabah.. bruntung anak2 ustazah mpunyai seorg ibu spt ustazah.. :)
    Alhamdulillah..

    ReplyDelete

Post a Comment