Fatwa daripada Sheikh al-Azhar, Mesir

Main Posts Background Image

Main Posts Background Image

Friday 23 June 2006

Fatwa daripada Sheikh al-Azhar, Mesir

Dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia 31 Mei 2006

Perkahwinan misyar sah - Sheikh al-Azhar

KUALA LUMPUR 30 Mei - Sheikh al-Azhar, Mesir, Prof. Dr. Muhammad Sayyed Tantawi berkata, perkahwinan misyar mengikut syarak adalah sah.
Katanya, semua syarat syarak seperti ijab dan kabul, mas kahwin dan pengisytiharan kepada umum terdapat dalam perkahwinan ini dan tidak ada paksaan oleh mana-mana pihak.
``Kalau kedua-dua pihak bersetuju untuk menolak haknya, jadi kedua-dua pihak dapat hidup dengan aman dan sempurna,'' katanya kepada pemberita melalui terjemahan oleh Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman.
Prof. Muhammad Sayyed Tantawi yang kini dalam rangka lawatan ke negara rumpun Islam di rantau ini hari ini menyampaikan syarahan perdananya di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.
Beliau berkata, tidak timbul soal penganiayaan kepada wanita kerana ia dibuat dengan persetujuan bersama tetapi dari segi lain.
``Mereka yang berkahwin misyar ini sebabnya ada wanita yang mungkin telah bercerai atau suaminya meninggal dunia tetapi wanita itu ingin hidup dalam keadaan bersih (terpelihara daripada maksiat) dan kebahagiaan (mendapat kasih sayang dan nafkah batin daripada suami),'' katanya.
Lelaki yang mengamalkan perkahwinan misyar ini pula kebanyakannya terdiri daripada mereka yang sudah berumahtangga dan memang menjadi amalan di kebanyakan negara di Asia Barat, katanya.
Wanita akan bersetuju untuk tidak mendapat nafkah zahir kerana wanita itu sendiri mungkin mampu menyara hidupnya tetapi menuntut supaya suami datang menjenguk sekurang-kurangnya seminggu sekali, katanya.
Suami pula tidak boleh memaksa wanita itu pindah ke rumah isteri pertama malah terpaksa membenarkan isteri yang dikahwini secara misyar itu duduk bersama keluarga atau di rumah milik beliau sendiri, katanya.
``Sebenarnya perkahwinan misyar ini amat sesuai untuk wanita yang suka hidup di dalam rumah dan wanita yang suka dikelilingi oleh anak-anak mereka,'' katanya.
Ketika ditanya jika ia boleh diamalkan di Malaysia, Muhammad menjawab: ``Kalau berlaku demikian apa salahnya, kerjasama suami isteri amat digalakkan''.
Kahwin misyar dicetuskan baru-baru ini dalam akhbar tempatan oleh Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid yang dikatakan sesuai untuk mengatasi masalah wanita tidak berkahwin.
Bagaimanapun, ia menimbulkan banyak reaksi dan tentangan daripada kaum wanita sendiri yang khuatir akan timbul penganiayaan dan perlepasan tanggungjawab oleh lelaki.

No comments

Post a Comment

Error 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage